PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menyelaraskan empat siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Melaka dan Johor, bermula 20 April hingga 23 April.

Operasi itu dijalankan ekoran cuaca panas dan kering yang menjejas bekalan air, sektor pertanian, serta keselamatan di kedua-dua negeri.

Menurut Nadma, operasi itu akan memberi tumpuan pada lapan empangan dan dua loji rawatan air (LRA) demi kelangsungan bekalan air.

Di Melaka, kawasan yang terlibat adalah Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus, dan Empangan Asahan.

Bagi Johor pula, operasi melibatkan Empangan Upper Layang, Empangan Machap, Empangan Seluyut, Empangan Lebam, Empangan Linggiu, Loji Rawatan Air Lokheng, dan Loji Rawatan Air Gembut.

Nadma menekankan bahawa operasi itu perlu diteruskan kerana paras simpanan air di kawasan terjejas masih pada tahap waspada, lapor The Star.

Agensi tersebut turut mendapatkan nasihat teknikal daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai kesesuaian keadaan atmosfera sebelum operasi dilaksanakan.

Penilaian itu penting bagi memastikan keberkesanan penyemburan larutan garam natrium klorida ke dalam awan bagi merangsang pembentukan hujan.

Nadma menjelaskan langkah campur tangan itu adalah usaha proaktif mengelak krisis bekalan air daripada mencapai tahap genting menjelang awal Mei.

Pesawat, ‘C130 Hercules’ milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digunakan sepanjang operasi dijalankan.

Dalam kenyataan media, Nadma berkata OPA kali ini selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya siri operasi tambahan diadakan susulan pelaksanaan terdahulu pada 11 dan 12 Februari serta 9 April lalu.

Cuaca panas dan kering di beberapa kawasan di Melaka dan Johor, ujar Nadma, telah memberi kesan buruk kepada kehidupan harian penduduk, terutama dari aspek bekalan air, pertanian, pekebun kecil, dan keselamatan.