Johor laksana pembenihan awan tangani kemarau

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor laksana pembenihan awan tangani kemarau

Operasi tiga hari beri tumpuan pada Empangan Upper Layang, Pulai 1 dan Machap bagi stabilkan bekalan air
Feb 13, 2026 | 12:43 PM

Johor laksana pembenihan awan tangani kemarau

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Malaysia, Johor, kemarau, drought, pembenihan awan, cloud seeding, hujan, rain, TUDM, Nadma, METMalaysia
Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan semburan air garam pada ketinggian antara 5,000 dengan 9,000 kaki (sekitar 1.5 hingga 2.7 kilometer) ke arah awan jenis ‘towering cumulus’ bagi merangsang pembentukan hujan. - Foto FACEBOOK TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA

Kerajaan Johor melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) sebagai langkah segera menghadapi cuaca panas berterusan dan penyusutan paras air empangan yang menjejas bekalan air di beberapa kawasan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menghadapi Kemarau Negeri Johor bersama jabatan serta agensi berkaitan susulan keadaan tersebut.

Beliau berkata kerajaan negeri kemudian memohon secara rasmi pelaksanaan pembenihan awan bagi meningkatkan peluang hujan di kawasan tadahan utama.

Menurutnya, operasi itu dilaksanakan pada 11, 12 dan 15 Februari 2026 dari pagi hingga petang oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Katanya operasi menggunakan pesawat C130 Hercules yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang itu memberi tumpuan kepada Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1 dan Empangan Machap yang terjejas akibat cuaca kering berpanjangan.

“Langkah ini diambil bagi menambah simpanan air di empangan strategik negeri, memanjangkan tempoh ketersediaan air mentah untuk rawatan termasuk di Ulu Sungai Sedili serta membantu memulihkan paras sungai ke tahap lebih stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Februari.

Beliau berkata operasi berkenaan turut melibatkan kepimpinan tertinggi Nadma dan METMalaysia sebagai bukti komitmen semua pihak dalam memastikan bekalan air rakyat terus terjamin.

Encik Mohamad Fazli bagaimanapun menjelaskan pembenihan awan bukan penyelesaian mutlak kerana keberkesanannya bergantung kepada keadaan atmosfera semasa.

“Kita sedar pembenihan awan bukan penyelesaian mutlak dan hasilnya bergantung kepada keadaan atmosfera semasa.

“Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak menunggu sehingga keadaan menjadi lebih kritikal.

“Setiap langkah yang wajar sedang diambil secara berperingkat dan terancang,” tambahnya.

Beliau berharap melalui usaha berterusan dan kerjasama semua agensi, kesan kemarau terhadap rakyat Johor dapat diminimumkan serta kesejahteraan penduduk terus terpelihara.

TUDM dalam satu kenyataan pada 11 Februari memaklumkan pihaknya telah melaksanakan OPA di Johor sebagai langkah membantu menstabilkan paras air empangan susulan cuaca panas berpanjangan dan kekurangan hujan.

Operasi itu dilaksanakan bagi membantu METMalaysia dan Nadma menangani masalah empangan yang kini berada pada paras amaran.

Misi OPA dilaksanakan secara berperingkat bermula 11 hingga 15 Februari 2026 melibatkan tiga negeri iaitu Johor, Kedah dan Perak.

Operasi hari pertama pada 11 Februari bermula dengan proses bancuhan air garam oleh METMalaysia dan anggota TUDM melibatkan empat tong bancuhan, setiap satu mengandungi 200 kilogram garam bersama 1,500 liter air.

Pesawat kemudian melaksanakan semburan pada ketinggian antara 5,000 dengan 9,000 kaki (sekitar 1.5 hingga 2.7 kilometer) ke arah awan jenis towering cumulus bagi merangsang pembentukan hujan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg