JOHOR BAHRU: Pada setiap Sabtu kedua setiap bulan, pusat bandar raya Johor Bahru, yang biasanya sesak dengan lalu lintas, berubah menjadi zon bebas kenderaan kira-kira dua jam bermula 7 pagi.
Sepanjang tempoh itu, orang ramai bebas berjalan kaki, berlari-lari anak, berbasikal, dan juga bermain skate di sepanjang laluan lima kilometer itu, bermula dari hadapan bangunan lama Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) di Jalan Dato Onn.
Laluan itu membawa peserta melalui Jalan Ismail Sultan, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Abdullah Ibrahim, Jalan Dato Dalam, Jalan Khalid Abdullah dan Jalan Air Molek, sebelum berakhir di titik permulaan.
Sepanjang laluan itu, peserta Pagi Bebas Kereta-Johor Bahru (JB CFM) dapat menikmati pemandangan mercu tanda ikonik seperti Johor Baru Sky Screen, ikon Zero Mile, Sungai Segget, Kuil Purba Johor Bahru, Gurdwara Sahib Johor Bahru, bangunan pusat pentadbiran negeri lama Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, Persada Johor dan struktur mahkota di sepanjang Jalan Ismail Sultan.
Pada 10 Ogos, suasana menjadi lebih menarik dengan kehadiran beberapa peserta yang menaiki beca.
Daya usaha JB CFM turut memberi peluang kepada keluarga seperti Encik Kevin Lim Li meluangkan masa bermutu bersama.
“Saya sering membawa isteri dan anak remaja saya ke acara bulanan ini kerana ia membolehkan kami menikmati kegiatan luar daripada terus leka dengan gadget.
“Dahulu, kami membawa basikal sendiri ke acara ini, tetapi sejak penganjur menyediakan basikal untuk kegunaan percuma, kami hanya perlu membawa topi keledar,” kata Encik Lim, 54 tahun, kepada StarMetro.
Beliau juga menyatakan bahawa rakan-rakan anaknya turut menyertai acara tersebut selepas melihat foto beliau di media sosial.
Beliau turut berharap agar acara itu dapat diperluaskan tempohnya dan merangkumi lebih banyak kegiatan.
“Ini akan membawa lebih banyak manfaat kesihatan dan alam sekitar. Saya pernah mencadangkan perkara ini semasa menjadi anggota Majlis Bandaraya JB, tetapi terdapat kebimbangan mengenai gangguan aliran trafik.
“Namun, saya masih berharap agar pengembangan program ini dapat direalisasikan,” kata Encik Lim yang berkhidmat sebagai ahli majlis bandaraya sehingga Mac lalu.
Seorang peserta kali pertama, Encik M. Kanagavalli, 32 tahun, begitu teruja untuk menyertai acara itu hingga tidak kisah meninggalkan rumahnya di Kulai seawal 5 pagi.
Beliau menyatakan bahawa rakannya, Cik Faridah Hanim, meyakinkannya untuk hadir selepas Cik Faridah menyertai edisi Julai JB CFM.
“Kumpulan rakan kami dahulu sering mendaki dan berkhemah sebelum pandemik Covid-19 memaksa kami berhenti melakukan aktiviti tersebut,” kata Encik Kanagavalli.
“Selepas itu, kami semua terlalu sibuk dengan kerja dan kehidupan seharian sehingga tidak sempat kembali kepada rutin asal kami.
“Saya berharap acara bebas kenderaan ini dapat memberi semangat kepada kami untuk kembali aktif,” kata eksekutif sokongan pemasaran dan penghantaran itu.
Encik Kanagavalli juga menyatakan bahawa berpeluh daripada kegiatan luar memberi kepuasan dan menjadi pelepas tekanan yang baik.
Beliau menikmati sesi aerobik yang diadakan pada permulaan acara, yang membantu memanaskan badannya sebelum berjalan mengelilingi bandar.
“Acara ini membolehkan kami menikmati pemandangan pusat bandar tanpa perlu risau tentang kesesakan trafik, kerana kawasan ini biasanya sibuk dan penuh dengan kenderaan.
“Saya berharap lebih banyak kawasan seperti Kulai juga boleh mengadakan acara bebas kenderaan untuk mempromosikan kesihatan yang lebih baik dan kesedaran alam sekitar, supaya penduduk tidak perlu pergi jauh untuk menyertai keseronokan ini,” tambah Encik Kanagavalli.
Laman MBJ menyatakan JB CFM bukan sahaja berjaya mengimbangi kehidupan bandar dengan keperluan kesihatan dan kelestarian alam sekitar, malah memperkuatkan hubungan masyarakat.
Dengan lebih banyak penduduk menyertai dan menyokong pengembangannya, program ini berpotensi menjadi model untuk daya usaha serupa di kawasan lain di Johor, seterusnya meningkatkan mutu hidup penduduk bandar raya, tambah MBJB.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg