MERSING: Pantai Air Papan bakal dibangunkan semula secara menyeluruh menerusi projek empat zon yang dijangka bermula pada suku keempat 2026 dan disiapkan dalam tempoh dua tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata pembangunan itu melibatkan pembaharuan fizikal serta penyediaan kemudahan riadah yang lebih tersusun dan mampan.

Antara kemudahan yang diusul ialah penambahbaikan jalan dan tempat letak kenderaan, laluan basikal serta pejalan kaki, dataran kapal, gerai, kedai cenderamata, tandas, surau dan kawasan bagi kenderaan riadah.

Turut dirancang ialah taman memanjang, taman permainan, pentas terbuka dan arca ombak yang dijangka dapat meningkatkan daya tarikan Pantai Air Papan sebagai destinasi pelancongan keluarga.

“Pembangunan ini akan dilaksanakan secara berfasa agar setiap komponen dapat disiapkan dengan teratur serta memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

“Pelaksanaannya perlu dipantau berdasarkan garis masa yang jelas supaya setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada hasil yang boleh dilihat dan dirasai rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam Program Muafakat Rakyat di Pantai Air Papan pada 4 Ogos.

Menurut Datuk Mohd Jafni, projek itu tidak boleh hanya menumpukan usaha mencantikkan kawasan, sebaliknya perlu memperkukuh sektor pelancongan, meningkatkan mutu kemudahan awam dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Apa yang paling penting, pembangunan Pantai Air Papan tidak boleh sekadar cantik di atas pelan.

“Ia mesti dibangunkan secara bersepadu, menjaga keindahan alam sekitar, meningkatkan kemudahan awam, mengukuhkan sektor pelancongan dan memastikan limpahan ekonominya dinikmati anak-anak Mersing sendiri,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau berkata peniaga, pengusaha pelancongan, golongan belia dan masyarakat setempat perlu dilibatkan dalam rantaian manfaat pembangunan berkenaan.

Kerajaan negeri mahu Pantai Air Papan muncul sebagai destinasi yang lebih selesa, tersusun dan menarik tanpa menghilangkan keindahan semula jadi serta nilai kehidupan masyarakat tempatan, ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Mohd Jafni berkata pembangunan Mersing akan turut diperkukuh menerusi Projek Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP).

Beliau berkata Datuk Onn Hafiz mahu daerah itu meneliti serta menyesuaikan pendekatan pembangunan yang berjaya dilaksanakan di Johor Bahru mengikut keperluan, kekuatan dan identiti Mersing.

Melalui portfolio kerajaan tempatan, katanya, beliau akan terus menyelaras tindakan bersama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan bagi memastikan setiap rancangan dapat dilaksanakan secara tersusun.

“Mersing mempunyai potensi besar sebagai daerah pelancongan mampan dan pintu masuk penting di Pantai Timur Johor.

“Potensi ini perlu diterjemahkan melalui pembangunan prasarana yang lebih baik, peningkatan kemudahan awam, pengukuhan ekonomi setempat serta pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan bagi rakyat tempatan,” katanya.