Topik diikuti
Pergi ke BHkuParas Empangan Pontian Kechil di bawah tahap kritikal, pemindahan air dilaksana
Paras Empangan Pontian Kechil di bawah tahap kritikal, pemindahan air dilaksana
JOHOR BAHRU: Air mentah dari Empangan Gunung Pulai 1, Kulai, telah disalurkan ke Empangan Pontian Kechil, Pontian, bagi menyokong sumber bekalan yang semakin menyusut, selepas paras empangan itu direkodkan di bawah tahap kritikal.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata setakat 23 Oktober 2026, paras Empangan Pontian Kechil berada pada 32.71 meter, berbanding paras kritikal 34.13 meter.
Menurut pembentangan Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj), stok aktif empangan itu pula direkodkan pada 36.16 peratus.
“Keadaan ini memerlukan pemantauan rapi serta tindakan bagi menyokong sumber air sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada 29 Oktober selepas meninjau empangan berkenaan.
Encik Fazli berkata Empangan Pontian Kechil merupakan salah satu sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air (LRA) Gunung Pulai.
Loji itu membekalkan 77 juta liter air terawat sehari kepada kawasan Pontian dan empat juta liter sehari kepada Johor Bahru.
Beliau berkata tumpuan kerajaan negeri ialah memastikan sumber air bagi operasi loji tersebut terus mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna.
Selain pemindahan air mentah dari Empangan Gunung Pulai 1, pihak berkaitan sedang meneliti cadangan mengepam air dari kolam tadahan berhampiran, iaitu Kolam Hijau atau Lombong IJM, ke empangan tersebut.
Cadangan itu bertujuan menyediakan sokongan tambahan sekiranya sumber air di Empangan Gunung Pulai 1 tidak mencukupi.
“Saya meminta agensi berkaitan memperhalusi cadangan ini, termasuk aspek kualiti air dan kesesuaian teknikal, di samping meneruskan pemantauan paras empangan,” katanya.
Encik Fazli berharap tindakan awal dan penyelarasan antara agensi dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan air kepada penduduk.