SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) akan membawa cadangan supaya Pakatan Harapan (PH) bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), tanpa bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), ke mesyuarat Majlis Presiden gabungan itu.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata cadangan itu terkandung dalam usul yang diluluskan perwakilan pada Konvensyen Nasional Amanah 2026 di Shah Alam pada 22 November.

BN kini rakan kerjasama PH dalam Kerajaan Perpaduan, sejak PRU15, pada November 2022, selepas berlaku Parlimen tergantung berikutan tiada blok politik yang memenangi majoriti untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Ini hanya saranan. PH yang akan putuskan. Kita akan bawa perkara ini dalam mesyuarat (Majlis Presiden PH) akan datang,” kata Datuk Mohamad selepas konvensyen berkenaan, lapor portal berita, Malaysiakini.

Menurut Datuk Mohamad, yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Amanah, iaitu satu daripada tiga parti komponen dalam PH berpandangan, blok politik pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu lebih baik menamatkan kerjasama dengan BN dalam Kerajaan.

Merujuk kekalahan PH kepada BN dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, beliau berkata pengundi keliru apabila kedua-dua gabungan bekerjasama dalam Kerajaan, tetapi bertanding sesama sendiri dalam pilihan raya.

Sementara itu, Datuk Mohamad juga dijangka membawa cadangan Setiausaha Agung Amanah, Encik Faiz Fadzil, supaya PH memperluas kerjasama dengan parti berteraskan Melayu, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ke Majlis Presiden PH.

Bagaimanapun, katanya idea membentuk ‘khemah besar’ itu masih di peringkat awal.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Belum ada perbincangan rasmi lagi. Cuma Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan beberapa orang lain datang (ke konvensyen Amanah).

“Keputusan perlu dibuat melalui mesyuarat. Ia tidak boleh dilaksanakan jika Amanah sahaja yang bersetuju dengan idea ini.

“Kita perlu melakukannya bersama-sama. Jadi, kita akan bawa perkara ini juga ke mesyuarat,” kata Datuk Mohamad.

Sementara itu, Datuk Azmin, berkata beliau akan membawa cadangan ‘khemah besar’ yang dibangkitkan Encik Faiz, kepada pimpinan tertinggi partinya.

Cadangan itu menggesa PH memperluas kerjasama dengan parti berteraskan Melayu, termasuk Bersatu, bagi meningkatkan sokongan segmen pengundi itu menjelang PRU ke-16.

“Matlamat jajaran baru ini ialah untuk membuka peluang kepada rakyat membuat pilihan yang terbaik, menyasarkan prestasi, politik nilai, politik khidmat dan politik prihatin kepada rakyat,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti