Topik diikuti
Pergi ke BHkuPAS tidak setuju penyatuan ummah dengan Umno hanya babit dua parti
Mahu rangkumi kekuatan politik Melayu/Islam dalam kerangka lebih besar, inklusif
PAS tidak setuju penyatuan ummah dengan Umno hanya babit dua parti
KUALA LUMPUR: Parti Islam SeMalaysia (PAS) dilihat tidak bersetuju terhadap kecenderungan Umno yang mengisyaratkan bahawa agenda kerjasama penyatuan ummah mereka hanya melibatkan dua parti itu.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebaliknya mahu gagasan berkenaan diperluas untuk merangkumi kekuatan politik Melayu/Islam dalam kerangka lebih besar dan inklusif, tanpa meminggirkan kelompok lain.
“Tidak dinafikan bahawa PAS dan Umno merupakan dua kekuatan utama dalam politik Melayu/Islam.
“Kededua mempunyai kedudukan dan pengaruh yang penting untuk menjadi paksi kepada agenda penyatuan ummah.
“Namun, jika gagasan ini hanya dihadkan kepada kerjasama dua parti tersebut, kita mungkin tanpa disedari meminggirkan kelompok lain yang turut mempunyai peranan dan pengaruh dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada 15 September.
Kenyataan itu hadir selepas Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 dilaporkan, berkata Umno mengakui kecenderungan dan desakan akar umbi parti supaya fokus rundingan kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya dirundingkan secara khusus bersama PAS, berbanding gabungan diterajuinya – Perikatan Nasional (PN).
Datuk Asyraf Wajdi berkata kecenderungan itu dapat dilihat menerusi perbahasan dan pandangan yang disuarakan perwakilan pada PAU 2026 pada 9 hingga 12 September.
Bagaimanapun, katanya perkara itu belum menjadi keputusan rasmi parti kerana rundingan pilihan raya masih belum bermula.
Perkembangan itu berlaku selepas hubungan PAS dan Umno dilihat semakin rapat, termasuk kehadiran pimpinan PAS pada PAU 2026, menyusuli kunjungan pimpinan Umno ke Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Kelantan, pada awal September.
Untuk rekod, selain PAS yang menerajui PN, gabungan itu turut dianggotai Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang dipimpin mantan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Komponen lain termasuk Parti Gerakan Rakyat (Gerakan); Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Datuk Tuan Ibrahim berkata penyatuan ummah mesti mampu merangkul pihak lain yang bersedia menerima asas dan matlamat perjuangan yang dipersetujui bersama.
Jelasnya PAS dan Umno, sebagai dua kekuatan utama politik Melayu/Islam di Malaysia, memikul tanggungjawab yang besar untuk membantu membina keyakinan bahawa penyatuan ummah bukan agenda untuk menguasai atau menafikan hak pihak lain.
Sebaliknya, ia bertujuan membentuk kekuatan politik yang mampu memimpin dengan adil, memperkukuh kestabilan negara dan menjamin kesejahteraan seluruh rakyat.
“Penyatuan yang mahu dibina juga bukan semata-mata untuk memenangkan PAS dan Umno.
“Kemenangan parti hanyalah wasilah (perantaraan). Matlamat lebih besar ialah membina kekuatan politik yang mampu menyatukan rakyat, menegakkan keadilan dan menawarkan masa depan negara yang lebih baik,” katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata kepentingan Melayu/Islam, kestabilan negara dan kesejahteraan seluruh rakyat hendaklah menjadi matlamat yang menyatukan semua kekuatan yang mereka impikan.
“Pada masa yang sama, kita harus mengakui bahawa setiap parti mempunyai sejarah, pendekatan dan agenda politik masing-masing.
“Perbezaan ini tidak semestinya menjadi penghalang kepada penyatuan, sebaliknya perlu diurus dengan kebijaksanaan supaya perkara yang lebih besar dapat disepakati tanpa mana-mana pihak perlu kehilangan identiti masing-masing,” katanya.
