Topik diikuti
Pergi ke BHkuUmno dedah terima ugutan selepas kerjasama dengan PAS
Umno dedah terima ugutan selepas kerjasama dengan PAS
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendedahkan parti itu berdepan tekanan selepas memperbaharui hubungan dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Ketika membentangkan laporan parti pada pembukaan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 pada 11 September, beliau berkata agenda penyatuan ummah telah menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan seteru politik.
Katanya ia menyebabkan Umno terpaksa membayar harga yang tinggi kerana pendirian berkenaan.
Tanpa menamakan pihak yang dimaksudkan, beliau berkata pelbagai bentuk ugutan, fitnah dan tuduhan berniat jahat direka semata-mata untuk mengaibkan pemimpin Umno, mencalarkan reputasi mereka serta menguji keteguhan pendirian parti.
Walaupun tidak menghuraikan lanjut, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan terhadap beberapa pemimpin Umno, khususnya yang didakwa mempunyai kaitan dengan siasatan dan kes membabitkan dakwaan salah laku dalam operasi Lembaga Tabung Haji.
“Apa yang berlaku mutakhir ini juga mengingatkan kita dengan kebobrokan manusia yang hanyut dengan kekuasaan sementara, sehingga hilang pertimbangan, rakus menyalahgunakan sisa jawatan, menganiaya rakan yang sebelum ini mengangkat mereka ke puncak takhta.
“Tetapi mereka tersilap percaturan. Mereka sangkakan dengan menganiaya dan memalukan kita, maka kita akan lemah,” katanya di hadapan lebih 5,000 perwakilan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.
Datuk Asyraf berkata Umno adalah pejuang Melayu yang tidak akan tunduk kepada tekanan untuk melemahkan usaha penyatuan ummah itu.
“Dicabar kita bangkit, ditekan kita melompat tinggi, dipukul kita berdiri lebih keras melawan!
“Kalau layar sudah dikembang, jangan gentar ombak lautan, kalau sabar sudah tak terkekang, lagi ditekan, lagi kuat melawan!,” katanya dalam rangkap pantun sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.
PAU 2026 turut mengalu-alukan kehadiran pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sekali gus menggambarkan hubungan Umno-PAS yang kian akrab.
Bagaimanapun, pimpinan Pakatan Harapan (PH) diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak dijemput ke perhimpunan itu, meskipun Umno/Barisan Nasional (BN) adalah rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Datuk Asyraf turut berkongsi kejayaan gagasan Rumah Bangsa diilhamkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada PAU 2025, Februari lalu, yang setakat ini telah berjaya menarik penyertaan semula 45,808 ahlinya yang pernah dipecat, digantung dan meninggalkan Umno sebelum ini.
Beliau turut berkongsi kejayaan dilakar Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, yang menyaksikan sokongan merentas kaum terhadap Umno kembali meningkat.
“Pada 2022, undi kaum India kepada Umno hanyalah 17.6 peratus. Tetapi PRN bulan lalu, 49.6 peratus orang India mengundi BN.
“Dalam kedua-dua PRN Johor dan Negeri Sembilan pada 2026 ini, BN memperoleh undi India tertinggi berbanding parti-parti lain,” katanya.
Umno juga katanya merekodkan peningkatan mendadak sokongan pengundi Melayu, apabila pada 2022 di Negeri Sembilan, 45.8 peratus Melayu mengundi BN, sementara pada 2026, jumlahnya meningkat kepada 79 peratus.
“Di Johor, hanya 44.9 peratus pengundi Melayu yang memilih BN pada 2022. Pada 2026, PRN kali ini, pengundi Melayu yang memilih kita adalah 82.4 peratus.
“Peningkatan hampir mutlak sokongan Melayu kepada Umno ini sudah tentunya disumbang daripada kemenangan saluran-saluran penting antaranya undi tentera.
“Kita menang kesemua 14 saluran kem tentera dengan 82.1 peratus pengundi memilih kita di Johor.
“Sementara di Negeri Sembilan hasil kerjasama dengan PAS, undi tentera kepada kita mencecah 92.47 peratus dan kita menang di kesemua lapan saluran,” tambahnya.
