JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selepas gagal mengisytiharkan wang tunai hampir RM3 juta ($943,965) ketika mahu ke Singapura menerusi Bangunan Sultan Iskandar (BSI), pada 27 Oktober.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pasangan warga tempatan berusia 41 dan 42 tahun itu ditahan kira-kira 11.40 pagi ketika melalui pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

“Pegawai bertugas di zon pemeriksaan kenderaan menghala ke Woodlands mengesyaki sesuatu selepas pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) menunjukkan kelakuan mencurigakan ketika disoal dan diarah membuka ruang penyimpanan barang serta tempat duduk penumpang.

“Pasangan itu mendakwa mahu ke Singapura untuk melancong.

Bagaimanapun, pemeriksaan menemukan wang tunai RM1,971,697 bersama $300,000 (RM955,441).

Ini menjadikan keseluruhan wang ditemukan bernilai kira-kira RM2.93 juta.

“Wang tunai dalam denominasi RM10, RM20 dan RM100 ditemukan di dalam tiga kotak, satu beg kertas dan sebuah beg galas hitam,” katanya kepada pihak media, pada 28 Oktober.

Turut hadir ialah Komander AKPS BSI, Cik Roszita Dim.

Datuk Mohd Nasaruddin berkata pihaknya masih menyiasat alasan pasangan berkenaan gagal mengisytiharkan wang tunai itu sebelum membawanya keluar dari Malaysia.

“Tangkapan, wang tunai dan kenderaan yang disita diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dibawa ke mahkamah pada 29 Oktober untuk direman,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 55(1)(b) Peraturan-Peraturan Kastam 2019, manakala wang tunai melebihi AS$10,000, iaitu kira-kira RM40,826, perlu diisytiharkan apabila dibawa masuk atau keluar dari negara ini.