Topik diikuti
Pergi ke BHkuJejantas RM60j akan hubung RTS Link terus ke KTM Komuter
Lebih 200 bas baru turut dirancang bagi suraikan penumpang dari Bukit Chagar apabila RTS mula operasi
Kerajaan Malaysia akan membina laluan penghubung bernilai RM60 juta ($18 juta) Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, antara Stesen Bukit Chagar dengan KTM Komuter di JB Sentral bagi memudahkan penumpang bertukar terus antara kedua-dua perkhidmatan rel.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata Kementerian Pengangkutan sudah mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi bagi projek itu, yang dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk disiapkan.
Menurut beliau, laluan baru itu akan disambungkan ke bahagian tengah jejantas sedia ada antara JB Sentral dengan Stesen RTS Link Bukit Chagar, sekali gus memendekkan jarak berjalan kaki penumpang.
“Penumpang KTM Komuter boleh naik menerusi eskalator dan terus masuk ke jejantas penghubung untuk ke Stesen RTS Bukit Chagar.
“Kita mahu menggalakkan pengguna RTS menggunakan pengangkutan awam untuk datang ke Bukit Chagar atau meneruskan perjalanan selepas tiba di sini,” katanya, selepas meninjau kemajuan RTS Link Johor Bahru-Singapura pada 18 Ogos.
Encik Loke berkata kerajaan turut merancang menyediakan lebih 200 bas baru di bawah Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) 2.0 bagi menghubungkan kawasan perumahan sekitar Johor Bahru dengan Bukit Chagar.
Selain KTM Komuter dan bas, penyuraian penumpang turut akan disokong khidmat e-hailing, serta pengangkutan awam lain.
Beliau berkata bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta Stesen Bukit Chagar kini siap dari segi fizikal, manakala projek memasuki fasa pengujian dan pentauliahan.
Skop kerja RTS Operations (RTSO) mencapai kira-kira 83 peratus setakat akhir Julai.
Kesemua lapan tren RTS Link juga telah melalui peringkat penting pengujian, manakala sistem semboyan, komunikasi, bekalan kuasa, pintu skrin pelantar dan kutipan tambang automatik kini menjalani ujian integrasi.
“Ini merupakan fasa paling kritikal sebelum operasi bermula. Kita perlu memastikan semua sistem berjalan dengan lancar sebelum dibuka kepada orang ramai,” katanya.
Encik Loke berkata kadar tambang serta tarikh muktamad operasi tidak akan diumumkan secara sepihak kerana RTS Link ialah projek dua hala Malaysia-Singapura.
“Perbincangan sedang berjalan dengan sangat positif. Tarikh muktamad operasi dan tambang akan diumumkan secara bersama oleh Menteri Pengangkutan Malaysia dan Singapura,” katanya.
Penggunaan kod QR bagi pelepasan imigresen pula bukan satu-satunya pilihan kerana penumpang masih boleh menggunakan pasport biasa.
Encik Loke berkata RTS Link bukan sahaja akan memudahkan perjalanan rentas sempadan, malah dijangka mengubah wajah dan dinamik Johor Bahru.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Suhaily Mohd Zain, berkata sebanyak 640 jawatan diluluskan bagi operasi RTS Link.
Lebih 400 pelatih sedang menjalani latihan dan dijangka melapor diri di Bukit Chagar pada Oktober sebelum mengikuti program pengenalan hingga Disember.
“Jangkaannya sekitar 10,000 orang sejam. Itu jumlah yang sangat besar dan kita perlu bersedia.
“Latihan dan pendedahan ini adalah cara untuk memastikan anggota kita benar-benar bersedia sebelum operasi bermula,” katanya.
Menurut beliau, sistem manual akan kekal tersedia sebagai pelan sokongan sekiranya berlaku gangguan sistem digital.
