SIK (Kedah): “Ini foto terakhir saya rakam untuk pasangan suami isteri itu sebelum mereka maut dalam kemalangan hari ini,” kata Encik Muhammad Suhaimi Yahaya, 35 tahun.
Encik Muhammad Suhaimi ialah pemilik Bromie Studio di Parit Panjang, Kedah, yang dikunjungi pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Felda Teloi Timur, Kampung Merbau Kudung, di sini, pada 25 Mac.
Dalam kejadian pada 4.30 petang itu, Encik Lokman Hakim Mohd Shukri, 23 tahun, dan isterinya, Cik Intan Suraya Zaidi, 24 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di tempat kejadian, lapor Berita Harian Malaysia.
“Pasangan itu datang ke studio saya pada 11 pagi untuk mengambil foto Hari Raya selama hampir 30 minit.
“Mereka kelihatan seronok malah wajah mereka kelihatan berseri sepanjang mengambil gambar.
“Malah, mereka juga teruja kerana dapat mengambil gambar raya yang siap dicuci terus hari ini dan saya hantar terus ke telefon bimbit jenis iPhone milik mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Encik Muhammad Suhaimi, ketika merakam gambar, pasangan itu banyak ketawa dan ceria antara satu sama lain.
Katanya, tidak lama lepas tu beliau terkejut apabila menerima berita yang mereka terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Saya mengenali pasangan itu ketika kali pertama mengambil gambar perkahwinan mereka pada Jun 2024.
“Pasangan itu sangat baik dan kelihatan sangat gembira walaupun baru berkenalan dengan mereka.
“Dan ini kali kedua saya merakam gambar kenangan mereka berdua. Tak sangka ini foto yang terakhir saya ambil untuk pasangan itu,” katanya.
Sementara itu, sumber polis berkata dalam kejadian tersebut, kereta Perodua Myvi yang dinaiki pasangan suami isteri itu sedang bergerak dari arah Bukit Selambau menghala ke Batu Lima manakala sebuah lori membawa muatan batu datang dari arah Batu Lima menghala ke Bukit Selambau.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Encik Lokman Hakim hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Pemandu lori berusia 34 tahun itu cuba mengelak ke kanan namun gagal lalu bertembung.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu lori terbabit hilang kawalan dan terlanggar tebing batu di bahu kanan jalan,” katanya.
Pasangan itu tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik kemudian dipanggil untuk memotong bumbung kereta bagi menyelamatkan mereka.
Mayat pasangan itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi, mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 4.16 petang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg