Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak 7 tahun S’pura maut nahas jalan raya di Johor

Mar 17, 2025 | 1:19 PM
Seorang budak lelaki warga Singapura meninggal dunia pada 17 Mac selepas kereta yang ditumpangnya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Johor pada malam 16 Mac.
Seorang budak lelaki warga Singapura meninggal dunia pada 17 Mac selepas kereta yang ditumpangnya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Johor pada malam 16 Mac. - Foto FACEBOOK ADRIAN ENG THONG YAP

JOHOR: Seorang kanak-kanak warga Singapura berusia tujuh tahun meninggal dunia menyusuli satu kemalangan di Johor Bahru, membabitkan seorang pemandu lori yang positif dadah methamphetamine.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Penguasa Bomba Kanan Mohd Yusri Atan, berkata kanak-kanak itu, Mohamad Noah Soliqin Mohamad Khairuz, meninggal dunia pada 17 Mac, sehari selepas kemalangan tersebut, lapor Malaysia Gazette.

Ibu bapa serta adik perempuannya – Encik Mohamad Khairuz Bahrawi, 44 tahun, Cik Fatimawati Affandi, 37 tahun, dan Yuv Asyura, tiga tahun, semuanya warga Singapura – serta pembantu rumah mereka – Cik Lina Yuliyanti, 38 tahun, seorang warga Indonesia, cedera dalam kemalangan itu.

Pemandu lori tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Raub Selamat, dalam satu siaran media.

Menurut beliau, kenderaan pelbagai guna (MPV) berdaftar di Singapura yang dinaiki keluarga berkenaan berlanggar dengan lori satu tan itu di Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya di Johor Bahru kira-kira 10.34 malam pada 16 Mac.

Kanak-kanak itu, yang duduk di tempat duduk belakang, tercampak keluar dari MPV itu. Pada kira-kira 3 pagi pada 17 Mac, dia disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di sebuah hospital swasta, ujar ACP Raub.

Beliau menambah bahawa semua penumpang MPV itu mengalami pelbagai kecederaan, dengan pemandu dan seorang penumpangnya masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail. Yang lain mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan pulang.

ACP Raub juga berkata pemandu lori tersebut, seorang warga Malaysia berusia 57 tahun, didapati positif dadah methamphetamine, atau Ice, dan tidak mempunyai lesen memandu. Dia disyaki hilang kawalan ke atas lori itu dan terbabas ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan MPV tersebut.

“Pemandu lori terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, lapor Malaysia Gazette.

Gambar yang dikongsi polis Johor bersama The Straits Times menunjukkan tingkap sisi MPV itu pecah. Gambar lain yang disebar dalam talian pula menunjukkan cermin depannya retak.

BH sedang berusaha menghubungi keluarga mangsa untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA), ia telah memberikan bantuan serta sokongan konsular kepada keluarga yang terjejas melalui Konsulat-Jeneral di Johor Bahru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg