Jenayah salah guna teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia semakin membimbangkan apabila ia kini dikaitkan dengan penyebaran video lucah palsu menggunakan AI melibatkan beberapa Ahli Parlimen (AP).
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan bagaimana teknologi yang dicipta untuk kemajuan manusia boleh disalahgunakan untuk tujuan jenayah, fitnah dan penghinaan.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerajaan memandang serius penyalahgunaan teknologi AI, khususnya apabila ia membabitkan pemimpin negara dan sudah memulakan siasatan berhubung penyebaran video palsu yang diperkatakan.
“Berkait kes yang dinyatakan oleh Ahli Yang Berhormat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan berhubung penyebaran video lucah yang menggunakan teknologi AI melibatkan beberapa AP.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 500 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, memandangkan ia melibatkan penghinaan, fitnah serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 16 Oktober bagi menjawab soalan Encik Yusof Abd Wahab (Gabungan Parti Sarawak-Tanjong Manis) mengenai perkembangan terkini siasatan ke atas penyebaran video lucah yang dihasilkan menggunakan teknologi AI ke atas beberapa AP di Malaysia.
Datuk Saifuddin Nasution berkata setakat ini, PDRM telah mengambil beberapa keterangan saksi serta mengumpulkan bahan bukti digital.
“Siasatan turut dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta CyberSecurity Malaysia bagi melakukan analisis forensik untuk mengenal pasti sumber asal serta individu yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan video berkenaan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat, selaras dengan undang-undang sedia ada,” katanya.
Pada 14 September lalu, media Malaysia melaporkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengesahkan beliau antara 10 ahli politik yang menjadi mangsa ugutan siber membabitkan kandungan pornografi dipercayai menggunakan teknologi AI.
Menurutnya, antara wakil rakyat yang menerima ugutan siber dihantar melalui e-mel adalah AP Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; AP Subang, Encik Wong Chen; AP Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari; dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Encik Adam Adli Abd Halim.
Turut menerima e-mel berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Encik Najwan Halimi; Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah; Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim, Encik Wong Chia Zen; dan Senator, Encik Monolan Mohamad.
E-mel tersebut, menurut Datuk Fahmi, mengugut untuk menyebarkan video palsu berkenaan sekiranya penerima tidak membuat bayaran sebanyak AS$100,000 (RM420,000/$128,924).
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, antara pemimpin dan kenamaan yang turut menjadi mangsa manipulasi teknologi AI membabitkan tawaran bantuan kepada orang ramai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg