Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura sekat akses ke 10 laman web palsu berpotensi niat jahat

Oct 22, 2024 | 5:00 PM
Pemerintah telah mengenal pasti dan menyekat 10 laman web  tidak sahih yang dikaitkan dengan pelakon asing yang berpotensi digunakan untuk melancarkan kempen maklumat berniat jahat (HIC) terhadap Singapura.
Pemerintah telah mengenal pasti dan menyekat 10 laman web tidak sahih yang dikaitkan dengan pelakon asing yang berpotensi digunakan untuk melancarkan kempen maklumat berniat jahat (HIC) terhadap Singapura. - Foto fail

Pemerintah mengenal pasti dan menyekat 10 laman web palsu yang dikaitkan dengan pelaku asing yang berpotensi digunakan untuk melancarkan kempen maklumat berniat jahat (HIC) terhadap Singapura.

Dalam satu kenyataan bersama pada 22 Oktober, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) berkata arahan telah dikeluarkan untuk melumpuhkan akses ke laman-laman tersebut “demi kepentingan awam”.

“Sepuluh laman web tidak sahih itu diperhatikan menyamar sebagai laman web Singapura dengan menipu atau menggunakan istilah yang dikaitkan dengan Singapura dalam nama domain mereka dan menggabungkan ciri dan visual tempatan yang biasa.

“Mereka juga membawa kandungan tentang Singapura, sebahagiannya dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI). Ini adalah taktik biasa yang digunakan oleh pelaku asing berniat jahat: membina laman web yang boleh menarik pengikut tempatan, yang kemudian boleh digunakan sebagai platform untuk melancarkan HIC,” kata kenyataan itu.

Laman-laman itu ialah zaobaodaily.com; singaporeinfomap.com; singaporeera.com; singdaotimes.com; todayinsg.com; lioncitylife.com; singapuranow.com; voasg.com; singdaopr.com; dan alamak.io

Dua daripada laman tersebut – www.zaobaodaily.com dan www.singaporeinfomap.com – menggunakan nama domain berkait rapat atau serupa laman sah berkaitan Singapura. Mereka juga membawa kandungan yang boleh mengelirukan penonton hingga menyangka ia mencerminkan pendirian rasmi atau sentimen tempatan.

Laman alamak.io menampilkan dirinya sebagai laman berita Singapura melalui penggunaan ungkapan harian “Alamak” sebagai nama domainnya. Ia juga memuatkan artikel berita berkaitan Singapura yang mentakrifkan artikel yang diterbitkan oleh media arus perdana tempatan dan menerbitkan ulasan mengenai isu sosio-politik, termasuk satu yang secara palsu mendakwa Singapura membenarkan negara lain menjalankan kegiatan penyelidikan perang biologi mereka di sini.

Tujuh laman yang lain memuatkan kandungan yang sama dengan yang dibawa oleh rangkaian berita asing lain yang nampaknya telah menjalankan HIC dan mempengaruhi kempen terhadap negara lain.

“Ada banyak kes di luar negara di mana pelaku asing yang berniat jahat mencipta dan menggunakan laman berita tidak sahih untuk menyebarkan naratif palsu bagi mempengaruhi sentimen penduduk sasaran, untuk memajukan kepentingan mereka sendiri.

“Mereka berbuat demikian dengan mencetuskan ketegangan sosial, mengeksploitasi garis kesalahan masyarakat, memanipulasi pilihan raya, atau menjejaskan keyakinan dan kepercayaan terhadap institusi awam,” ujar kenyataan itu.

Menurutnya, kebanyakan laman itu dikaitkan dengan rangkaian global laman berita tidak sahih yang dilaporkan oleh penyelidik keselamatan siber dari Mandiant dan The Citizen Lab sebagai laman yang telah menjalankan HIC dan mempengaruhi kempen di negara lain.

Memandangkan laman web ini berpotensi digunakan oleh pelaku asing untuk melancarkan HIC terhadap Singapura, kedua-dua agensi berkata adalah demi kepentingan awam untuk mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 16 Akta Penyiaran 1994 bagi melumpuhkan akses kepada mereka untuk pengguna di Singapura.

Pada masa ini, tiada peruntukan dalam Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) 2021 untuk bertindak lebih awal terhadap laman web, yang sahih mahupun tidak. Arahan Sekatan Akaun adalah arahan jangkaan dan hanya boleh dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan elektronik tetapi bukan bagi laman web. Pemerintah sedang mengkaji semula Akta tersebut untuk melihat bagaimana perkara itu boleh ditangani pada masa depan.

Sejauh ini tiada warga Singapura terlibat mengendalikan mana-mana laman itu, yang juga tidak melancarkan HIC terhadap Singapura.

“Tahap pendedahan rakyat Singapura kepada 10 laman web itu dinilai rendah pada masa ini. Bagaimanapun, laman web tersebut berpotensi digunakan untuk melancar HIC terhadap Singapura pada masa hadapan. Oleh itu adalah demi kepentingan awam untuk mengambil tindakan awal terhadap mereka,” kata MHA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg