Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PDRM siasat video didakwa promosi fahaman komunis di M’sia

Mar 27, 2025 | 5:05 PM
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain.
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat penyebaran sebuah klip video sepanjang dua minit 57 saat yang dikatakan mempromosi fahaman komunis di Malaysia.

Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata video yang mula tersebar pada 24 Mac itu mendakwa terdapat sebuah pertubuhan tidak berdaftar yang dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China, atau Persatuan Penyatuan Satu Cina, di Malaysia.

“Polis memandang serius dakwaan itu memandangkan sebarang usaha menghidupkan semula fahaman komunis secara halus mahupun terbuka adalah bertentangan dengan prinsip rukun negara serta boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“Malaysia secara tegas menolak ideologi komunis sejak 1948 dan sebarang bentuk promosi atau glorifikasi (perbuatan meluhurkan atau memuliakan) fahaman berkenaan boleh diklasifikasikan sebagai satu ancaman kepada ketenteraman awam serta perpaduan nasional,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Tan Sri Razarudin berkata siasatan sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Polis memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan terhadap pertubuhan yang disebut serta dakwaan-dakwaan berkaitan aktiviti tidak berdaftar, penggunaan simbol komunis dan unsur subversif (bertujuan menjatuh atau merosakkan kerajaan).

“Sebarang cubaan menggugat kedaulatan negara atau menyemai fahaman bertentangan dengan perlembagaan persekutuan akan ditangani dengan tegas berdasarkan lunas undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh oleh sebarang kenyataan, video atau gerakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam dan menggugat keharmonian antara kaum di Malaysia.

“Masyarakat diseru menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan terus kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi serta tidak menyebarkan kandungan atau bahan belum disahkan kerana ia boleh mengundang salah faham dan mengeruhkan keadaan,” katanya.

Media Malaysia pada 18 Februari melaporkan PDRM merakam keterangan tiga saksi berhubung isu batu yang diukir dengan wajah pengerusi Parti Komunis China, Mao Zedong, bersama tulisan puisi berideologi komunisme di sebuah kawasan memorial di Semenyih, Selangor.

Pada Disember 2024, polis menyerbu sebuah restoran barbeku yang dikesan berunsur dan mempromosikan agenda komunisme di Bandar Botanic, Klang, Selangor, dan menahan pengurus restoran berkenaan bagi membantu siasatan.

Serbuan polis itu susulan perkongsian video di media sosial menunjukkan beberapa peralatan hidangan makanan dan minuman di premis terbabit yang berunsur dan mempromosikan agenda komunis, termasuk memaparkan cetakan gambar pemimpin komunis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg