SEPANG (Selangor): Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan penyamaran di dalam bas ekspres dan bas persiaran bagi mengesan penumpang yang tidak memakai tali keledar.
Pengarah JPJ Selangor, Encik Azrin Borhan, berkata pihaknya akan menumpukan pemeriksaan di terminal utama, hentian rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya utama serta di kawasan tumpuan pelancong.
“JPJ juga akan melakukan penyamaran sebagai penumpang bas bagi memastikan pematuhan ini adalah berterusan.
“Justeru, pegawai penguat kuasa akan menjalankan pemeriksaan secara rambang bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang dan pemandu,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas Ekspres dan Bas Persiaran di R&R Dengkil, di sini pada 2 Julai.
Menurutnya, pematuhan di Selangor berada dalam keadaan memuaskan. Sebanyak 56 bas ekspres dan 23 bas persiaran yang diperiksa di Selangor pada 1 Julai mendapati tiada penumpang yang ingkar.
Menurutnya, operasi itu akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan keselamatan penumpang bas berada di tahap tertinggi.
“Operasi ini bertujuan memastikan tahap keselamatan penumpang dalam pengangkutan awam khususnya bas dapat dipertingkatkan selaras dengan kehendak undang-undang serta piawaian keselamatan jalan raya di Malaysia.
“Sesiapa yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 ($604) atau penjara tidak melebihi enam bulan.
“Bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM4,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Pengusaha bas dan pemandu perlu mengambil tanggungjawab dengan memberi peringatan kepada penumpang supaya memakai tali pinggang keledar, tambah beliau.
Sementara itu, JPJ Kedah mengesan 18 kes membabitkan penumpang bas ekspres dan bas persiaran yang tidak memakai tali pinggang keledar ketika operasi khas pada 1 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Pengarah JPJ Kedah, Encik Stien Van Lutam, berkata dalam operasi itu pihaknya melakukan pemeriksaan membabitkan 18 bas iaitu 14 daripadanya bas ekspres manakala empat lagi bas persiaran.
Dua kesalahan membabitkan penumpang di bawah usia 18 tahun diberikan nasihat manakala 16 penumpang lain dikenakan kompaun setiap seorang RM300.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg