Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu, penumpang bas ekspres wajib guna tali pinggang keledar

Jun 30, 2025 | 1:05 PM
Bas, Malaysia, JPJ
Kerajaan Malaysia meningkatkan penguatkuasaan pelbagai peraturan jalan raya selepas tragedi kemalangan ngeri membabitkan bas persiaran di Perak, pada 9 Jun 2025, yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan mencederakan 27 pelajar lain. - Foto fail BERNAMA

KOTA BHARU (Kelantan): Semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran di Malaysia diwajibkan memakai tali pinggang keledar, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata pemandu dan penumpang yang gagal mematuhi peraturan itu akan dikenakan saman RM300 ($90.40).

Beliau berkata penguatkuasaan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk melengkapkan pemasangan tali pinggang keledar itu.

Tegasnya, pemandu perlu memastikan kesemua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak dan mereka yang ingkar akan dikenakan saman RM300.

“Sebelum ini kami mengambil pendekatan nasihat dan peringatan, namun bermula 1 Julai ini kami akan melaksanakannya secara tegas.

“Sekiranya pemandu gagal memberi peringatan kepada penumpang untuk memakai tali pinggang berkenaan, bukan hanya penumpang yang akan disaman, bahkan pemandu dan syarikat pengendali bas akan turut dikenakan saman.

“Jika pemandu sudah memberi peringatan kepada penumpang, namun penumpang masih berdegil enggan memakai tali pinggang keledar, saman hanya akan diberikan kepada penumpang.

“Namun kami akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesahkan sama ada peringatan sudah dibuat atau sebaliknya,” katanya selepas Perhimpunan Setia JPJ Malaysia, di Kota Bharu, Kelantan, pada 29 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.

Mengulas lanjut, Datuk Aedy Fadly, berkata JPJ sudah mengadakan perbincangan dan pertemuan dengan pengendali syarikat bas bagi memaklumkan perkara berkenaan.

“Kami sudah mengeluarkan garis panduan kepada mereka supaya arahan yang diterima jelas dan selepas ini, kami tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan yang dilakukan.

“Justeru saya mengingatkan semua syarikat pengendali bas dan penumpang supaya mematuhi arahan yang ditetapkan,” katanya.

Penguatkuasaan peraturan itu menyusuli tragedi nahas ngeri jalan raya membabitkan sebuah bas persiaran sewa khas, yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik pada 9 Jun.

Dalam kejadian malang pada kira-kira 1 pagi itu, bas yang dinaiki 42 penuntut UPSI untuk kembali ke kampus mereka di Tanjung Malim, Perak, dari Terengganu selepas cuti Aidiladha, hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.

Kemalangan itu turut menyebabkan 27 penuntut lain dan empat sekeluarga yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza cedera dan dirawat di hospital.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg