MELAKA: Seorang pekerja kafe dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada 23 Mei selepas mengaku bersalah menyebabkan janin berusia lima bulan dalam kandungannya mati pada 12 Mei.
Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Norazzeti Azima Awang Long, 21 tahun, selepas meneliti fakta kes serta hujah pendakwaan dan pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Norazzeti Azima, didakwa mengambil ubat ‘misoprostol’ sebelum kelahiran bayi dengan niat untuk menghalang bayi daripada dilahirkan dalam keadaan hidup.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam tandas sebuah bilik di Imperio Residence Tower A, di sini, pada 12 Mei, kira-kira 10 malam, lapor Berita Harian Malaysia.
Oleh itu dia dituduh mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga tahanan di Penjara Sungai Udang dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka kerana mengalami bengkak susu.
Dia kemudian mengaku kepada doktor (pengadu) yang merawatnya bahawa dia mengalami keguguran dianggarkan berusia enam bulan selepas memakan ubat untuk menggugurkan kandungan jenis ‘misoprostol’ yang dibeli di aplikasi TikTok dengan harga RM600 ($181) pada 12 Mei.
Selepas menggugurkan kandungan, tertuduh menyerahkan janin itu kepada rakan lelaki untuk ditanam.
Timbalan Pendakwa Raya, Cik Syaza Nur Sharif, dalam hujah pemberatan hukuman memohon hukuman penjara setimpal dikenakan mengambil kira isu sosial yang berleluasa ketika ini.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, merayu hukuman penjara dan denda minimum kerana anak guamnya hanya bekerja di sebuah kafe dengan pendapatan RM1,800 sebulan.
Tertuduh katanya baru genap 21 tahun pada April lalu dan turut menanggung bapa berusia 76 tahun dan dua adik yang masih bersekolah.
Menurutnya, tertuduh menggugurkan kandungan akibat tertekan selepas didesak teman lelakinya berulang kali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg