Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu bersalin di rumah ketika berdiri; sambut bayi sebulan lebih awal

May 19, 2025 | 6:04 PM
Encik Imam Wahyudi Bambang Budiono dan Cik Ira Wahyuni Bambang Suwarno bergambar bersama bayi mereka, Izy Windrawan. Mereka berdiri di dapur rumah di mana Cik Ira melahirkan Izy dalam posisi berdiri tanpa bantuan perbuatan.
Encik Imam Wahyudi Bambang Budiono dan Cik Ira Wahyuni Bambang Suwarno bergambar bersama bayi mereka, Izy Windrawan. Mereka berdiri di dapur rumah di mana Cik Ira melahirkan Izy dalam posisi berdiri tanpa bantuan perbuatan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Telefon ambulans!”

Jeritan Cik Ira Wahyuni Bambang Suwarno bergema di dapur rumahnya sekitar 6 pagi pada 16 April ketika beliau menahan kesakitan dari kontraksi.

Suaminya, Encik Imam Wahyudi Bambang Budiono, yang menyangka mereka masih mempunyai masa untuk ke hospital, segera menghubungi talian kecemasan 995.

Namun, hanya satu minit selepas panggilan itu dibuat, Cik Ira bersalin dalam posisi berdiri sebulan lebih awal daripada tarikh dijangka bersalin – tanpa bantuan perubatan, hanya berbekalkan keberanian dan bimbingan telefon daripada operator kecemasan.

Berkongsi pengalaman kelahiran bayi yang dinamakan, Izy Windrawan, kepada Berita Harian (BH) di rumah empat bilik mereka di Punggol baru-baru ini, pasangan muda itu berkata mereka pada mulanya diselubungi emosi dan panik.

“Kami baru saja nak keluar rumah untuk ke hospital. Ketika kami cuba keluar, saya mula rasa sakit. Tak boleh tahan… rasa seolah-olah nak meneran di situ juga.

“Saya jerit pada pembantu rumah dan suami, ‘buka seluar!’ Dan dengan sekali teran, bayi pun keluar,” jelas Cik Ira, 29 tahun.

Menurut Encik Wahyudi, 30 tahun, ketika pembantu rumah mereka membuka seluar isterinya, kepala bayi tiba-tiba muncul, tetapi mujurnya pembantu rumahnya sempat menggunakan tangannya untuk menahan kepala bayi dan menghalangnya daripada terjatuh ke lantai.

Ketika itu, naluri kebapaan Encik Wahyudi serta-merta timbul.

“Saya campak telefon bimbit ke tepi sambil melompat seperti penjaga gol untuk menangkap bayi… saya sempat menangkapnya sebelum dia jatuh, lalu mendakapnya.

“Semasa saya mendakap bayi, saya nampak tali pusatnya terbelit di lehernya sebanyak dua pusingan. Jadi, saya perlahan-lahan meleraikannya,” jelas Encik Wahyudi kepada wartawan.

Izy Windrawan dilahirkan dengan berat badan rendah (1.7 kilogram) dan terpaksa dimasukkan ke unit penjagaan khas hospital sehingga beratnya mencecah 1.8 kilogram.
Izy Windrawan dilahirkan dengan berat badan rendah (1.7 kilogram) dan terpaksa dimasukkan ke unit penjagaan khas hospital sehingga beratnya mencecah 1.8 kilogram. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pada masa yang sama, beliau mengutip balik telefon bimbitnya untuk mendapatkan bimbingan daripada operator kecemasan.

Mengimbas kembali kejadian itu, Encik Wahyudi berkata beliau menghargai operator kecemasan tersebut kerana membimbingnya sepanjang proses dan memastikan beliau dan isterinya tenang.

Menurut Cik Ira, ambulans tiba di rumah mereka sekitar 15 minit selepas panggilan 995 dibuat. Pihak medik kemudian memeriksa keadaan Cik Ira dan bayi sebelum menghantar mereka ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Pasangan itu juga mempuyai anak sulung, Ian Warjuna, 18 bulan.

Walaupun ini merupakan kehamilan kedua Cik Ira, beliau tidak pernah mengalami kontraksi bersalin sebelum ini kerana beliau menggunakan epidural (ubat penahan sakit) semasa kehamilan pertamanya.

“Jadi semasa saya nak lahirkan Izy, perkara pertama yang saya fikirkan adalah, ‘sakit tak?’ Apabila saya dengar dia nangis, saya rasa lega.

“Saya kagum dengan wanita yang lahirkan bayi semula jadi, tanpa ubat. Saya tidak pernah terfikir saya boleh melaluinya. Saya rasa begitu yakin dengan diri sendiri selepas itu,” jelasnya.

Walaupun pasangan itu penuh dengan panik pada mulanya, mereka bersyukur setelah kelahiran Izy selesai kerana percaya ia sudah tertulis sebagai rezeki yang unik dan penuh hikmah.

Encik Wahyudi dan Cik Ira meluangkan masa keluarga dengan anak sulung mereka, Ian Warjuna, serta anak kedua, Izy Windrawan.
Encik Wahyudi dan Cik Ira meluangkan masa keluarga dengan anak sulung mereka, Ian Warjuna, serta anak kedua, Izy Windrawan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sambil merenung ke bayinya, Cik Ira berkata dengan nada yang lega:

“Ketika saya di hospital, doktor memberitahu saya bahawa saya mengalami praeklampsia. Mereka hanya mengesannya selepas saya lahirkan Izy.

“Doktor berkata tekanan darah saya sangat tinggi dan jika saya tidak bersalin pada masa itu, ia akan mungkin membawa maut kepada saya dan Izy.”

Praeklampsia merupakan komplikasi kehamilan yang dicirikan dengan darah tinggi serta tanda kerosakan pada organ lain.

Disebabkan praeklampsia, Izy dilahirkan dengan berat badan rendah (1.7 kilogram) dan terpaksa dimasukkan ke unit penjagaan khas sehingga beratnya mencecah 1.8 kilogram.

Pasangan itu baru-baru ini menyambut kepulangan Izy dari KKH pada 29 April.

Menurut Cik Ira, semasa Izy dilahirkan, usianya baru 36 minggu dan 2 hari – seminggu sebelum dianggap sebagai bayi cukup bulan.

“Tetapi Alhamdulillah, Izy sihat dan tidak ada masalah. Cuma saiznya kecil sahaja… Saya rasa seolah-olah ia satu hikmah yang dia dilahirkan sebelan lebih awal daripada tarikh dijangka bersalin.

“Bak pepatah, ‘Anda tidak dapat kelahiran yang anda inginkan. Anda dapat kelahiran yang anda perlukan’,” ujar Cik Ira yang berpegang kepada frasa itu dekat di hatinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg