BATU PAHAT: Hasrat Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal untuk mengikut jejak kerjaya Allahyarhamha ibunya sebagai seorang doktor pakar tidak kesampaian.

Pelajar perempuan Tingkatan Empat itu ditemui maut dan dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada 3 Oktober.

Ibu saudaranya, Cik Siti Nur Faeza Khyar, 45 tahun, berkata Irene Sofiya, 16 tahun, pernah memberitahu beliau mengenai cita-citanya sebelum ini.

“Fiya (Irene Sofiya) pernah bercakap kepada saya... dia bertanya bidang kedoktoran apa sesuai untuknya. Saya jawab lebih baik jadi doktor pakar sakit puan,” ceritanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Mangsa yang juga antara pelajar terbaik sekolahnya disifatkan oleh guru sebagai calon berpotensi meraih gred A dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam kejadian sekitar 5.30 petang itu, Allahyarhamha ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada badan.

Terdapat kesan darah kering pada badan mangsa, selain lebam mirip kesan akibat dipukul.

Selain itu, pasu pecah turut dijumpai berdekatan mangsa.

Ekoran kejadian itu, polis telah memberkas seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat pada 4 Oktober untuk ditahan reman enam hari di Mahkamah Majistret, di sini.

Perintah reman ke atas suspek berusia 16 tahun dibenarkan Majistret Mustaqim Sukarno, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Mayat mangsa ditemui ibu saudaranya, Cik Siti Nur Faeza, serta neneknya, Cik Jameyah Rabani, 65 tahun, di samping rakannya yang berusaha mencarinya di sekolah selepas mangsa tidak pulang ke rumah walaupun kelas tambahan sudah berakhir pada 5 petang hari tersebut.

Cik Siti Nur Faeza menambah, beliau tidak dapat membayangkan ketakutan dan kesakitan yang dilalui anak saudaranya itu, terutama di dalam dewan sekolah yang gelap.

“Saya tak dapat bayangkan kesakitan dan kesengsaraan yang ditanggung sebelum kami menemuinya.

Bayangkan dia berada dalam kesakitan dengan berlumuran darah, namun tiada siapa tahu keadaannya ketika itu,” kata Cik Siti Nur Faeza, seorang guru sekolah.

Mangsa tinggal di rumah neneknya dan merupakan anak tunggal yang kehilangan ibu ketika berusia sembilan tahun akibat barah hati.

Bapanya pula jurutera yang bertugas di Bangi.

Seorang rakan sedarjahnya yang enggan namanya disiarkan, 16 tahun, berkata: “Ketika kelas tambahan berlangsung, dia tiada dalam kelas. Kami sangka dia tidak hadir kerana tidak sihat dan kami tak menyangka ada apa yang buruk berlaku.”

Namun, segala teka-teki yang menyelubungi mereka akhirnya terungkap apabila seorang guru memberitahu sesuatu yang ‘buruk’ telah berlaku di sekolah ketika itu.

Allahyarhamha disifatkan sebagai pendiam, rajin belajar dan sangat baik kelakuannya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus berhubung kes kematian tersebut.