Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes tikam di sekolah: Pelajar didakwa atas cubaan bunuh rakan, dirujuk pemeriksaan mental
Kes tikam di sekolah: Pelajar didakwa atas cubaan bunuh rakan, dirujuk pemeriksaan mental
Kes tikam di sekolah: Pelajar didakwa atas cubaan bunuh rakan, dirujuk pemeriksaan mental
BANTING (Selangor): Pelajar perempuan berusia 15 tahun yang didakwa terbabit dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah di Banting, Selangor, pada 6 Julai, didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh di Mahkamah Telok Datok, Banting, Selangor, pada 10 Julai.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas suspek hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat.
Mahkamah kemudian memerintahkan suspek dirujuk ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta di Perak, bagi menjalani penilaian mental selama sebulan.
Perintah itu dibuat selepas permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan mengambil kira mangsa dalam kes berkenaan merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
Turut hadir dalam prosiding itu ialah ibu suspek, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, suspek didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap mangsa di sekolah menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan dengan niat menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata suspek yang menikam seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sekolah di Banting, itu memberi alasan tidak berpuas hati dan memendam rasa selepas mendakwa dibuli.
Bagaimanapun beliau berkata hasil keterangan beberapa individu termasuk 10 senarai nama pelajar yang tular di media sosial setakat ini mendapati, ia tidak menjurus ke arah perbuatan buli.
Sebelum ini bapa mangsa, Encik Mohd Firuz Ibrahim, 43 tahun, berkata kejadian malang itu menyebabkan anak perempuannya cedera pada bahagian paru-paru, selain turut mengalami kira-kira 16 luka tikaman pada bahagian badan dalam kejadian sekitar 9 pagi itu.
Pelajar berkenaan masih dirawat di Hospital Banting.
Menurut Encik Mohd Firuz, anaknya mengenali pelajar suspek kerana mereka pernah menjadi rakan sekelas pada 2025, namun menolak dakwaan anaknya membuli, selepas tular satu nota menulis nama mangsa sebagai antara 10 sasaran suspek.
