Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajari sejarah mampu rancak sektor pelancongan, angkat Johor ke peta dunia

Dec 5, 2025 | 12:27 PM
Jimmy Leong, JTGA, MBJB, johor, sejarah
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Johor (JTGA), Encik Jimmy Leong, ketika menyampaikan ucapan berkaitan sejarah Johor di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). - Foto FACEBOOK JIMMY LEONG

JOHOR BAHRU: Mempelajari sejarah Johor boleh merancakkan sektor pelancongan dan membantu meletakkan negeri itu di peta dunia, kata Persatuan Pemandu Pelancong Johor (JTGA).

Pengerusinya, Encik Jimmy Leong, berkata usaha sedemikian mampu menyokong persiapan menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

“Sejarah merupakan asas pembangunan dan kemajuan Johor. Malangnya, masih ramai yang kurang mengetahui tentang sejarah negeri ini.

“Sebagai anak Johor, mereka seharusnya mengetahui sekurang-kurangnya sejarah asas negeri ini,” katanya.

Beliau berkata mempromosikan Johor merupakan tanggungjawab bersama yang melibatkan semua pihak, termasuk masyarakat.

Encik Leong, yang juga Presiden Majlis Pemandu Pelancong Malaysia, menggesa pertubuhan dan agensi kerajaan menganjurkan sesi sejarah percuma untuk orang ramai.

“Kami tidak mempunyai dana untuk menganjurkan program seperti itu, namun kami bersedia membantu dalam cara lain, termasuk menjadi penceramah,” katanya, lapor The Star.

“Bulan lalu (Oktober), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah menghubungi kami dan berjaya melaksanakan program sedemikian, dan kami berharap lebih banyak lagi dapat dianjurkan pada masa depan.”

Menurutnya, beliau telah menyampaikan ceramah selama tiga jam mengenai sejarah Johor, khususnya Johor Bahru, kepada kira-kira 250 peserta.

“Kami memberi tumpuan kepada sejarah Johor Bahru kerana MBJB mahu orang ramai lebih mengenali bandar raya ini, termasuk mercu tanda penting serta peristiwa bersejarah,” katanya.

“Majoriti peserta terdiri daripada pegawai MBJB, namun terdapat juga pemandu e-hailing (kenderaan sewa persendirian) dan pemandu pelancong yang turut serta.

“Melalui program seperti ini, sekurang-kurangnya mereka dapat mempelajari sesuatu tentang bandar raya ini yang boleh dikongsi bersama pelawat.”

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad, berkata dalam satu kenyataan bahawa program tersebut dianjurkan di bawah jawatankuasa pelancongan dan rekreasi MBJB.

“Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk melaksanakan inisiatif yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan.

“Tahun 2026 telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Johor, dan kursus ini menjadi sebahagian daripada persiapan kita menyambut pelancong tempatan dan antarabangsa dengan maklumat tepat dan layanan mesra,” katanya.

Datuk Mohd Haffiz, yang merasmikan program itu, berkata kursus tersebut dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Johor, Grab, Yayasan Warisan Johor dan JTGA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg