Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar: VEP permudah pengesanan, pematuhan undang-undang

Pelaksanaan penuh VEP pada 1 Jul diharap pertingkat kawalan keselamatan jalan raya rentas sempadan
Jun 14, 2025 | 5:30 AM
bangunan sultan iskandar (BSI)
Gambar kenderaan yang melalui Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru. - Foto MAJLIS BANDARAYA JOHOR BAHRU

Penguatkuasaan penuh Permit Masuk Kenderaan (VEP) terhadap semua kenderaan berdaftar dari Singapura yang memasuki Malaysia mulai 1 Julai ini disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh keselamatan jalan raya dan kawalan rentas sempadan negara.

Pengasas dan Penasihat Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Encik Jamil Manan Supri, berkata pihaknya menyambut baik peralihan kerajaan Malaysia daripada pendekatan memberi nasihat kepada tindakan tegas bagi memastikan pematuhan undang-undang sedia ada.

Pengasas dan Penasihat Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Encik Jamil Manan Supri.
Pengasas dan Penasihat Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Encik Jamil Manan Supri. - Foto ihsan JAMIL MANAN SUPRI

“Langkah ini akan memastikan hanya kenderaan asing yang sah dan mematuhi peraturan dibenarkan memasuki Malaysia, sekali gus membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas pesalah termasuk penyelesaian denda sebelum dibenarkan keluar dari negara ini,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Menurutnya, VEP bukan sahaja berfungsi sebagai mekanisme kawalan sempadan, bahkan juga memperkukuh disiplin pemandu asing yang sering dikaitkan dengan kesalahan seperti memecut menggunakan kenderaan berkuasa tinggi di lebuh raya Malaysia.

“Dengan pelaksanaan VEP yang sistematik dan pematuhan undang-undang jalan raya yang lebih ketat, ia akan meningkatkan kesedaran pemandu asing agar tidak memandang ringan aspek keselamatan pengguna jalan raya tempatan,” ujarnya.

Sebelum penguatkuasaan penuh VEP, cabaran utama termasuk kesukaran mengenakan tindakan ke atas kenderaan asing yang melakukan kesalahan trafik seperti enggan membayar saman, memandu secara cuai atau tidak layak, serta kegagalan mengesan status keselamatan kenderaan.

Encik Jamil berkata pelaksanaan sistem VEP yang lengkap membolehkan pengesanan dan penegakan undang-undang dijalankan dengan lebih berkesan kerana segala butiran kenderaan dan pemandu telah direkodkan.

“Apabila kenderaan asing melanggar peraturan, tindakan termasuk menyita kenderaan boleh diambil dengan lebih mudah, manakala isu berkaitan cukai jalan juga tidak timbul kerana hanya kenderaan dengan dokumen lengkap yang layak masuk,” jelasnya.

Mengulas rungutan warga Singapura tentang kelewatan dan proses permohonan rumit, Encik Jamil berkata peningkatan permohonan menjelang tarikh penguatkuasaan menyebabkan kesesakan di pusat pendaftaran VEP, terutama di Johor Bahru.

“Setakat 2 Jun 2025, sebanyak 231,018 tag RFID (pengenalan frekuensi radio) telah dikeluarkan, dengan 194,507 daripadanya untuk kenderaan persendirian individu yang telah dipasang dan diaktifkan.

“PPKJR mencadangkan agar tempoh permohonan dilanjutkan sedikit bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan proses berjalan lancar,” katanya.

Beliau turut menyarankan supaya kerajaan Malaysia membuat penilaian lebih terperinci terhadap permohonan VEP, khususnya memastikan hanya pemandu tanpa rekod kesalahan berulang layak menerima permit tersebut.

“Langkah ini akan membantu memastikan pengguna jalan raya di Malaysia lebih selamat dengan kehadiran pemandu asing berdisiplin dan mematuhi peraturan,” tambahnya.

Pensyarah Pengangkutan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang, Encik Razieman Mohd Yusoff, pula berkata VEP adalah mekanisme yang diperlukan bukan hanya untuk tujuan kawalan sempadan bahkan juga bagi memastikan tiga aspek utama – pematuhan, penguatkuasaan berkesan dan kebolehkesanan (traceability).

Pensyarah Pengangkutan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang, Encik Razieman Mohd Yusoff.
Pensyarah Pengangkutan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang, Encik Razieman Mohd Yusoff. - Foto ihsan RAZIEMAN MOHD YUSOFF

“VEP dapat mengatasi isu pendapatan hilang (missing revenue) akibat saman trafik yang tidak dijelaskan pemandu kenderaan asing. Ia juga memperkukuh penguatkuasaan terhadap mereka yang memandu secara berbahaya di jalan raya Malaysia,” ujarnya kepada BH.

Encik Razieman berkata pelaksanaan sistem VEP menggunakan teknologi RFID juga membolehkan data kenderaan disimpan dan dianalisis bagi mengenal pasti corak pemanduan, yang seterusnya dapat membantu usaha mengurangkan kemalangan jalan raya secara proaktif melalui analisis data.

“Mekanisme ini telah berjaya dilaksanakan di negara seperti Thailand dan Singapura.

“Dengan adanya VEP, Malaysia boleh membangunkan pangkalan data trafik lebih mantap dan menambah baik tindakan undang-undang terhadap pelanggaran,” jelasnya.

Sementara itu, Penyelidik Utama Pusat Pemanduan Bijak (SDRC) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Munzilah Md Rohani, berkata pelaksanaan VEP bukan sesuatu yang baru kerana ia telah lama diguna pakai di negara seperti Singapura, Switzerland dan Australia.

“Dengan adanya sistem VEP dan RFID, urusan keluar masuk di sempadan lebih lancar. Kita tidak lagi bergantung kepada sistem fizikal dan manual seperti pembayaran tunai atau kad fizikal. Semuanya sudah beralih kepada pengurusan digital yang jauh lebih berkesan,” katanya.

Beliau menambah, VEP bukan sahaja mempercepat pemprosesan di sempadan, bahkan turut membolehkan pihak berkuasa mengesan jumlah kenderaan asing yang masuk dan keluar dari Malaysia – termasuk dari Singapura dan Thailand – serta mengenal pasti sama ada pemilik kenderaan terbabit mempunyai rekod kesalahan lalu lintas atau tidak.

“Sebelum ini, ada kelemahan dalam sistem sedia ada yang mana pihak berkuasa tidak tahu bila dan ke mana sesebuah kenderaan asing itu pergi setelah memasuki negara kita.

“Dengan adanya sistem ini setiap data termasuk identiti pemilik kenderaan akan direkodkan secara menyeluruh,” jelasnya kepada BH.

Menurut beliau, data yang dikumpul juga dapat digunakan pihak penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Plus dan agensi berkaitan sekiranya berlaku kemalangan atau pelanggaran undang-undang.

“Kalau hanya satu agensi yang guna data ini, ia satu kerugian. Data VEP dan RFID perlu dikongsi secara bersepadu antara semua agensi berkaitan agar tindakan dapat diambil dengan cepat dan berkesan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC), Encik Jimmy Leong, menegaskan bahawa rakyat Singapura yang kerap ke Malaysia seharusnya sudah mengetahui dan bersedia dengan keperluan VEP.

“Pusat pemasangan VEP sudah pun tersedia sejak beberapa bulan lalu. Jika ada yang masih belum melengkapkan proses, ia adalah tanggungjawab mereka.

“Denda yang dikenakan adalah wajar bagi memastikan pematuhan. Namun, kami tidak menjangka ia akan menghalang kemasukan pelancong dari Singapura ke Johor,” katanya.

Encik Leong berkata pemasangan hanya perlu dilakukan sekali dan selepas itu perjalanan keluar masuk akan berjalan seperti biasa.

“Jadi dalam jangka panjang, kami percaya rakyat Singapura tetap akan terus berkunjung ke Malaysia, terutama Johor,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg