PETALING JAYA: Tanda tanya kehilangan pelakon Nadia Kesuma, 49 tahun, yang gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah, Arab Saudi, pada 15 Januari terjawab apabila beliau disahkan meninggal dunia pada hari sama.
Berita itu diumumkan oleh anak perempuannya, dikenali sebagai Myra, melalui media sosial.
“Assalamualaikum semua, saya ingin memaklumkan bahawa ibu saya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, telah kembali ke Rahmatullah pada 15 Januari lebih kurang 8.05 pagi.
“Terima kasih kepada anda semua yang tidak putus-putus mendoakan Mama. Mohon doakan agar rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman, diampunkan segala dosanya dan dirahmati Allah,” tulisnya.
Menurutnya lagi, ibunya itu mengalami serangan jantung dan dibawa ke hospital pada hari yang sama beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah.
“Tiada sesiapa pun memaklumkan kepada keluarga kami tentang keadaan arwah sehingga jam 11.10 malam ini. Berita itu disampaikan oleh agensi pelancongan sendiri,” tambahnya.
Perkara itu turut disahkan suami aktres itu, Profesor Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, serta rakan karib Allahyarhamha, pelakon Anne Abdullah, menerusi akaun media sosial masing-masing.
Menurut Dr Kamarul jenazah isterinya akan dikebumikan di Jeddah.
“Jenazah isteri saya, Allahyarhamha Nadia Kesuma akan dikebumikan di sana. Kami tidak akan bawa pulang jenazah ke tanah air sebab dari dulu, isteri sering melahirkan hasrat mahu ke Makkah, jadi kami tunaikan permintaannya,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu semasa ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 18 Januari.
Berita sedih pemergian pelakon berkenaan turut dikongsi Anne yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) dalam hantaran di Facebook pada pagi 18 Januari, namun beliau tidak memaklumkan punca kematian.
Selepas siasatan dijalankan dengan bantuan pelbagai pihak, beliau memaklumkan Nadia meninggal dunia ketika berada di Jeddah.
“Selamat jalan adik akak sayang dunia akhirat dengan penuh rasa dukacita dan hati yang berat.
“Setelah segala usaha, siasatan dan bantuan daripada semua pihak, kami ingin memaklumkan bahawa sahabat kita yang tercinta, Nadia Kesumawati, telah kembali ke rahmatullah di Jeddah.
“Pemergian ini amat menyedihkan dan meninggalkan kesan mendalam buat saya dan kita semua,” katanya.
Anne turut mengucap terima kasih kepada individu dan pihak yang membantu termasuk mendoakan sepanjang pencarian diusahakan.
Beliau juga memohon keluarga Allahyarhamha tabah dan diberi kekuatan dalam berdepan ujian yang berat.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada setiap individu dan pihak yang telah membantu, berusaha, mendoakan serta memberi sokongan sepanjang proses pencarian dan siasatan ini.
“Semoga Allah swt mengampunkan segala dosa arwah, menerima segala amal kebaikannya, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan berkasih sayang denganNya. Al-Fatihah
“Semoga keluarga arwah diberi ketabahan, kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi ujian yang berat ini. Sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya kita kembali,” tulisnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta ini gagal dikesan selepas tiba di lapangan terbang di Jeddah. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg