KUALA LUMPUR: Pelawak dan anggota kumpulan Senario, Yassin Yahya, yang hilang daripada radar industri hiburan Malaysia sejak 2024, dikatakan ditahan di pusat pemulihan di Arab Saudi, namun bukan di penjara.
Perkara itu disahkan rakan baiknya, Saiful Apek, yang turut menyatakan Yassin dijangka pulang ke Malaysia sebelum Aidilfitri nanti.
“Dia bukan ditahan di penjara, sebaliknya pusat pemulihan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kedai runcit.
“Jadi, saya nak menyeru hentikan segala spekulasi, tunggu hingga tuan badan pulang. Biarlah Yassin sendiri menjelaskan apa yang berlaku.
“Saya lega melihat keadaannya baik di sana sehingga boleh hafaz 20 juzuk Al-Quran.
“Tiada perkara terjadi secara kebetulan dan saya gembira dengan perubahannya itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Kenyataan Saiful seolah-olah mengesahkan spekulasi mengenai seorang pelawak popular ditahan di Jeddah, Saudi, atas kesalahan dadah yang kecoh diperkatakan sejak 2024.
Saiful berkata semua anggota Senario mengunci mulut bagi menghormati perasaan keluarga Yassin.
“Daripada maklumat keluarga, difahamkan Yassin akan pulang sebelum Aidilfitri ini.
“Kami berdiam diri kerana menghormati keluarga. Alhamdulillah, kami lega dapat tahu dengan lebih jelas apa yang berlaku.
“Saya tak kisah orang nak cakap saya berat sebelah atau sengaja nak cover line, tapi apa yang boleh saya katakan, Yassin mungkin tidak pandai mana, tapi dia juga tak bodoh.
“Di Arab Saudi, jika terbabit dalam kes seperti ini (dadah), hukumannya hudud (bunuh), tiada pelepasan untuk dua atau tiga bulan,” kata Saiful yang ditemui pada majlis berbuka puasa filem, 6 Jilake, di Kuala Lumpur.
Saiful juga berkongsi beliau ada berhubung dengan Yassin menerusi aplikasi Zoom dan gembira melihat perubahan positif di Jeddah, termasuk pertambahan berat badan dan hafaz Al-Quran.
Terdahulu, ketiadaan Yassin untuk melengkapkan anggota Senario sejak 2024 lalu menimbulkan tanda tanya, apatah lagi isu pelawak popular ditahan di Jeddah atas kesalahan dadah sejak Oktober 2024 masih belum terjawab.
Sebelum ini, media Malaysia melaporkan seorang pelawak ditahan di Jeddah selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja, namun identitinya tidak didedahkan.
Pelawak itu dilapor sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu.
Hukuman dijatuhkan ketika perbicaraannya pada November 2024.
“
“Dia bukan ditahan di penjara, sebaliknya pusat pemulihan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kedai runcit. Jadi, saya nak menyeru hentikan segala spekulasi, tunggu hingga tuan badan pulang. Biarlah Yassin sendiri menjelaskan apa yang berlaku.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg