Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenderaan S’pura tanpa VEP tidak diarah patah balik, tetap didenda RM300

Langkah bertujuan pastikan aliran trafik di pusat pemeriksaan kekal lancar
Jun 5, 2025 | 4:31 PM
VEP, kenderaan S’pura masuk M’sia, denda
Kenderaan tanpa Permit Masuk Kenderaan (VEP) tidak perlu berpatah balik bagi mengelakkan kesesakan serius. - Foto MAJLIS BANDARAYA JOHOR BAHRU

JOHOR BAHRU: Kenderaan dari Singapura tanpa Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang sah tidak akan diarah berpatah balik di pusat pemeriksaan darat negeri itu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Namun, pemiliknya tetap akan dikenakan denda RM300 ($91).

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Encik Azmil Zainal Adnan, berkata langkah itu bertujuan memastikan aliran trafik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) kekal lancar.

“Pegawai penguat kuasa kami tidak akan mengarahkan kenderaan tanpa VEP berpatah balik, kerana ini boleh menyebabkan kesesakan yang serius.

“Bagaimanapun, kenderaan tersebut akan direkodkan dalam sistem dan pemiliknya akan dikenakan denda RM300 yang wajib dijelaskan sebelum meninggalkan Malaysia,” katanya ketika dihubungi pada 5 Jun, lapor Harian Metro.

Menurut Encik Azmil, bagi memudahkan urusan pembayaran denda, JPJ Johor akan menyediakan kaunter khas di luar pintu keluar BSI dan KSAB, agar pemilik kenderaan dapat menyelesaikan pembayaran sebelum kembali ke Singapura.

“Keputusan ini dibuat untuk mengimbangi antara aspek penguatkuasaan undang-undang dengan keperluan praktikal, khususnya memandangkan jumlah kenderaan yang melintasi sempadan setiap hari adalah amat tinggi.

“Kami mahu mengelakkan kesesakan tambahan, tetapi pada masa yang sama memastikan peraturan tetap dikuat kuasa pada titik yang lebih sesuai,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pemilik kenderaan dari Singapura agar segera mempercepat proses permohonan VEP masing-masing dan tidak menggunakan khidmat ejen pihak ketiga yang tidak disahkan, memandangkan terdapat laporan ejen-ejen berkenaan mengenakan bayaran perkhidmatan yang terlalu tinggi.

Keperluan VEP diwajibkan di bawah undang-undang Malaysia sebagai sebahagian usaha kerajaan mengawal selia dan memantau kenderaan asing yang memasuki negara itu dengan lebih cekap dan berkesan.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, pada 4 Jun memberi amaran bahawa pemilik kenderaan Singapura berisiko dikenakan denda RM300 bermula 1 Julai jika gagal mendaftar atau mengaktifkan VEP sebelum memasuki Malaysia.

Menurut Encik Loke, penguatkuasaan penuh VEP bermula selepas tempoh pelaksanaan secara berfasa sejak Oktober 2024, menyasarkan semua kenderaan asing, terutama dari Singapura.

“Demi memastikan keselamatan jalan raya, kerajaan Malaysia akan meneruskan penguatkuasaan penuh keperluan VEP ini mulai 1 Julai, dengan saman akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan asing yang masih belum mendaftar atau mengaktifkan VEP mereka.

“Pesalah juga perlu menjelaskan denda tersebut sebelum dibenarkan keluar dari Malaysia,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg