JOHOR BAHRU: Jumlah pelancong kesihatan dari Singapura ke Johor meningkat sekitar 26 peratus pada separuh pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun 2025, ketika negeri itu memperkukuh kerjasama sektor perubatan dan pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata Singapura, Indonesia dan China kekal sebagai pasaran utama pelancongan kesihatan negeri itu.

Menurutnya, China mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 34 peratus, manakala jumlah pelancong kesihatan dari Vietnam dan India turut meningkat melebihi 10 peratus dalam tempoh tersebut.

Secara keseluruhan, sektor pelancongan kesihatan Johor merekodkan hasil RM106.8 juta ($33.5 juta)pada separuh pertama 2026.

Pada 2025, hasil sektor itu mencecah RM205.2 juta, meningkat 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Perkembangan ini mencerminkan keyakinan dan pengiktirafan yang semakin meningkat dalam kalangan pelancong antarabangsa terhadap kualiti perkhidmatan kesihatan di Johor,” katanya dalam kenyataan pada 28 Oktober.

Beliau mengulas Mesyuarat Pelancongan Kesihatan Negeri Johor yang dipengerusikannya bersama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, Encik P. Pannir Selvam.

Mesyuarat itu turut melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Tourism Johor, hospital swasta, pihak pengurusan lapangan terbang serta wakil sektor perubatan.

Encik Ling berkata bersempena Tahun Melawat Johor 2026, kerajaan negeri memperkukuh kerjasama antara sektor kesihatan dengan pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa mendapatkan rawatan di Johor.

Menurutnya, sektor pelancongan kesihatan negeri itu menunjukkan pertumbuhan yang konsisten sejak 2022.

Beberapa hospital swasta turut merancang pelaburan untuk membina hospital baru atau memperluas perkhidmatan sedia ada bagi meningkatkan kemudahan dan kapasiti perubatan.

Beliau berkata perkembangan itu menyediakan asas untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor perubatan, selain mencerminkan keyakinan pasaran serantau terhadap perkhidmatan kesihatan Johor.

Bagaimanapun, kekurangan tenaga kerja kesihatan menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi memenuhi permintaan perkhidmatan pada masa hadapan.

“Dalam usaha merancakkan pembangunan sektor ini, kita juga perlu memberi perhatian serius terhadap cabaran kekurangan tenaga kerja kesihatan,” katanya.

Isu tersebut turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, selain usaha memperkukuh kerjasama antara sektor pelancongan dengan perubatan.

Encik Ling berkata kerajaan negeri akan terus menyelaraskan kerjasama dengan pihak berkaitan supaya pembangunan pelancongan kesihatan seiring dengan peningkatan kemudahan, keupayaan perkhidmatan dan perancangan sumber manusia.

“Matlamat kita bukan sekadar menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan kesihatan pilihan antarabangsa, tetapi juga memastikan pembangunan sektor ini memberi manfaat kepada rakyat Johor secara keseluruhannya,” katanya.