KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak Malaysia, Harith Iskander, serta penyanyi soprano, Cecelia Yap, yang memuat naik kandungan dan komen jelik membabitkan agama Islam di akaun Facebook, masing-masing didenda RM10,000 ($3,011).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan pada 5 Mac memaklumkan pihaknya menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk berbuat demikian kepada dua individu terbabit.
“Tindakan kompaun itu dikenakan ke atas Harith dan Cecelia di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu,” kata SKMM, lapor Astro Awani.
Selepas menerima permohonan daripada SKMM, suruhanjaya itu memaklumkan Meta yang mengendalikan Facebook telah bertindak menurunkan kandungan berkenaan selepas ia didapati melanggar garis panduan komuniti media sosial itu.
Selain itu, SKMM memaklumkan permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit sudah pun dilakukan.
“Permohonan tersebut kini dalam penelitian dan penilaian pihak Meta,” kata SKMM.
Terdahulu, Cecelia yang didakwa menimbulkan kontroversi berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam berkaitan isu ‘ham’, tampil memohon maaf.
Cecelia menerusi kenyataan dikeluarkan firma guaman mewakilinya, Saibullah MV Nathan dan Co, menyatakan amat kesal atas kenyataan sensitif disiarkan di dalam media sosial.
Harith, 54 tahun, pula didakwa membuat hantaran di Facebooknya dengan memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan hamsap kopi berharga RM5.50 ($1.65).
Pada Januari, Malaysia kecoh dengan isu tular penjualan produk pek sandwic ham yang diragui status halalnya di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
Siasatan pihak berkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kemudian mengesahkan pengeluar produk berkenaan produk ham dan cheese yang dijual dalam premis di UM itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat terbabit didapati menyalahgunakan logo halal.
Berikutan itu sebuah syarikat pastri dan pengarahnya yang membekalkan 366 sandwic pelbagai jenis ke kedai serbaneka di UM itu didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Januari lalu atas 12 tuduhan menggunakan logo halal palsu, supaya makanan itu boleh dimakan orang Islam.
Bagaimanapun, Pengarah syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, Ewe Sarn Yeun, 65 tahun, mengaku tidak bersalah sejurus semua tuduhan dibacakan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg