SHAH ALAM: Pelawak dan usahawan terkenal Malaysia, Shuib, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 14 November atas enam tuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta ($480,000) pada 2023.
Turut didakwa ialah Pengarah Bersama, Koh Choon Guan, 33 tahun, dan syarikat mereka, Bubblebee Sdn Bhd (Bubblebee), masing-masing atas enam tuduhan sama.
Bagaimanapun, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 40 tahun, dan Koh yang turut mewakili Bubblebee selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku tidak bersalah sebaik saja tuduhan berasingan dikemukakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Mengikut semua tuduhan itu, mereka didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan RM1,191,153.78 dan penalti RM454,000 bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2023.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, di sini, lapor Berita Harian Malaysia.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan.
Bawah Seksyen 26(10) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 serta Seksyen 69(1) akta sama, mereka turut dikehendaki membayar penalti berjumlah RM453,969.42 kepada Ketua Pengarah Kastam.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Rasyihah membenarkan Shuib dan Choon Guan diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi semua tuduhan, serta menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Disember depan.
Pada 11 November, syarikat Bubblebee, Shuib dan Choon Guan didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret di sini atas tujuh tuduhan, termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2023.
Shuib dan Choon Guan dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg