Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon tidak perlu jadi penyanyi kalau belum sedia

Tidak salah ceburi pelbagai kemahiran seni, asal pentingkan mutu dan tidak dedah aib
Nov 9, 2024 | 5:30 AM
Pelakon, Nur Fazura Sharifuddin, teruk dikecam netizen apabila persembahannya menyanyikan lagu, ‘Bertahan Demi Cinta’, secara ‘live’ dalam program bicarawara dalam bahasa Inggeris di Indonesia, ‘SEA Today’ dianggap sumbang.
Pelakon, Nur Fazura Sharifuddin, teruk dikecam netizen apabila persembahannya menyanyikan lagu, ‘Bertahan Demi Cinta’, secara ‘live’ dalam program bicarawara dalam bahasa Inggeris di Indonesia, ‘SEA Today’ dianggap sumbang. - Foto INSTAGRAM MISSFAZURA

Apalah nasib pelakon dan usahawan jelita, Nur Fazura Sharifuddin?

Asyik dikecam berkali-kali. Buat itu salah, buat ini pun salah.

Ingatkan episod Fazura disindir dan menjadi buah mulut orang di media sosial akan terhenti selepas saga perceraiannya dengan pelakon, Fattah Amin, muktamad.

Rupanya, ia berlarutan apabila pelakon drama dan filem, Gol & Gincu, itu tampil di program bicarawara berbahasa Inggeris yang diterbitkan di Indonesia, SEA Today, di bawah naungan PT Telkom Indonesia dan Kementerian Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Indonesia.

Beliau bukan sahaja diajak bersembang malah turut menyanyikan seorang diri lagu duet terbarunya bersama Fattah, Bertahan Demi Cinta, dalam rangka promosi karya ciptaan penyanyi Malaysia, Ippo Hafiz.

Tiada kecaman mengenai apa yang dikongsi Fazura dalam sesi wawancara itu kerana beliau memang dikenali petah berbual.

Antara yang dinyatakannya ialah rasa tidak menyesalnya mengambil keputusan berat bercerai dengan Fattah setelah sekian lama bertahan.

Namun, yang menjadi bahan perbincangan dan sindiran sehingga muncul video TikTok parodi adalah nyanyian ‘live’ Fazura yang sesetengah orang anggap terlalu amatur sampai disamakan seperti nyanyian karaoke yang sumbang atau ‘ke laut’.

Sebelum ini, Fazura memang pernah merakam lagu, Bisa Apa, Paling Sempurna dan Cinderella (duet bersama Fattah sebagai runut bunyi rasmi (OST) drama Hero Seorang Cinderella).

Fazura dan Fattah pun pernah merakam semula lagu Hari Raya, dendangan asal Hail Amir dan Uji Rashid, Seloka Hari Raya.

Kalau ditinjau angka penstriman di aplikasi Spotify lagu-lagu Fazura ini boleh tahan juga diminati.

Cinderella sudah distrim lebih 1.7 juta kali manakala Bisa Apa pula sudah distrim 866,186 kali. Paling Sempurna sudah distrim 320,516 kali manakala seteruk-teruk orang kutuk, Bertahan Demi Cinta, juga sudah distrim lebih 216,584 kali.

Beberapa artis pun masuk ‘frame’ bagi memperkatakan nyanyian Fazura kali ini.

Pelakon Sharnaaz Ahmad yang baru-baru ini dipuji kerana menyajikan peminatnya dengan lagu ‘cover’ Stuck On You (dendangan asal Lionel Richie) sempat mengulas suara Fazura ketika ditanya peminatnya dalam satu sesi ‘live’ di TikTok:

“Nak tanya Mamu (panggilan Sharnaaz buat dirinya), sedap tak Fazura nyanyi? Tak Sedap… Sorry-lah kena jawab jujur... Berdosa tau tipu. Kalau kau orang kata sedap aku kena pergi jumpa doktor,” katanya ringkas.

Beliau kemudian melahirkan rasa kasihannya kepada Fazura kerana sewajarnya mengasah suaranya dahulu sebelum menyanyi ‘live’.

Vokalis band berkonsep era 1960-an, Masdo, Ali Sariah, pula berkata beliau enggan peristiwa Fazura gagal menyanyi ‘live’ itu membuatkan penonton Indonesia beranggapan semua penyanyi Malaysia tidak membuat persiapan.

“Sedikit sebanyak memang nama kita tercalar dengan apa yang berlaku. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

“Tapi kami berharap agar Fazura akan memperbaiki mutu nyanyiannya dan belajar daripada peristiwa ini,” ujar Ali.

“Perkara yang baik kita ambil yang buruk kita jauhkan, jadikan perkara itu pengajaran untuk semua.

“Kadangkala kita dah buat hampir sempurna dan hanya 10 peratus silap tapi yang silap itu juga dilihat orang,” kata Ali pada sidang media, Konsert One Love Music 2024, di IPC Cornerstone, Kuala Lumpur, pada 6 November.

Akur bahawa penyanyi juga manusia biasa yang tidak sempurna dan boleh melakukan kesilapan, Ali berharap setiap penyanyi harus sentiasa sedia berdepan segala kemungkinan.

“Masdo juga pernah berada dan melalui fasa itu, jadi kami faham apa yang berlaku.

“Apa pun kena betul-betul bersedia sebelum buat persembahan walaupun kadang-kadang keadaan ketika itu buat kita rasa gugup,” jelasnya.

Apabila saya menilai isu ini, saya berharap pengurus artis akan benar-benar fikir cara terbaik untuk ketengah bakat artis dan bukannya mendedahkan aibnya.

Tak pasal-pasal dari orang tu popular dan dikenali ramai, jadi masalah ‘kena lempar telur busuk’ (dikutuk) di alam maya.

Dunia seni sekarang pula condong mencorak artis 4-dalam-1: penyanyi, pengacara, pelakon dan pempengaruh. Tak nak rugi!

Jadilah situasi di mana pelakon nyanyi sumbang dan penyanyi pula berlakon ‘macam kayu’.

Sewajarnya, rancang terlebih dahulu. Memang dalam zaman teknologi canggih dan kecerdasan buatan (AI) menyerlah, boleh sahaja perhalusi suara yang ‘off’ menjadi lunak didengar.

Kerana ada sofwe ‘autotune’ yang boleh mengubah suai vokal penyanyi agar tidak dikesan kejanggalannya dalam hasil rakaman. Suara penyanyi boleh sampai ke nada yang tepat.

Tapi bayangkan dalam acara promosi apabila penyanyi perlu berdendang secara ‘live’. Parah kalau harapan tidak kesampaian.

Saya akui suatu ketika dahulu, sewaktu saya dewasa di dalam era 1970-an dan 1980-an, akan ada artis serba boleh yang mampu berlakon dan boleh juga menyanyi dengan baik.

Antaranya, Uji Rashid, Azean Irdawaty, Noor Kumalasari dan Fauziah Ahmad Daud.

Pelawak dan pelakon seperti Jalil Hamid dan Salih Yaacob pun tak sumbangkan lagu malar segar macam Ayam, Raya, Romantika Di Tampoi dan Gali Lubang Tutup Lubang.

Tapi tak semua boleh dimasukkan dalam acuan artis serba boleh.

Ada yang lebih layak bergelar pelakon sahaja atau apabila lebih matang, bergelar penulis naskhah, pengarah dan penerbit.

Ada pula yang hanya berprestasi tinggi ketika menyanyi dan mungkin menulis lirik atau mencipta lagu. Tapi tak perlulah menyuruhnya berlakon kalau maaf cakap, jadi macam tiang lampu sahaja.

Semakin dunia kian canggih, kita perlukan mutu kerja seni yang lebih baik. Penggiat industri tak boleh bersikap asal boleh atau tangkap muat.

Kalau ada yang menyimpan impian menebarkan sayap seni, pergilah ke kelas vokal atau kelas lakonan sebab sekarang ini, kelihatannya merupakan dunia hiburan tanpa belas kasihan.

Netizen mudah sahaja menghukum sedangkan mereka sendiri belum pasti mampu menyanyi lebih baik daripada Fazura.

Saya memuji sikap sesetengah pelakon seperti bintang Nur Kasih, Tiz Zaqyah, yang sebenarnya terbukti dapat menyanyi dengan baik.

Daripada video YouTube dan Instagram yang saya tonton, Tiz memiliki suara serak-serak basah yang lunak didengar dan tak ‘ke laut’.

Namun, sewaktu saya bertanyakan kepadanya dalam satu wawancara beberapa tahun dahulu, beliau menjelaskan dengan penuh kerendahan hati:

“Alah kak, Tiz nyanyi suka-suka sahaja. Tak terfikir nak rakam lagu atau masuk peraduan sebab cukuplah saya berlakon. Nyanyi hobi sahaja. Saya hanya fokus pada tugas sebagai pelakon.”

Betul cakapnya. Adakalanya, lebih baik tak perlu jadi bak peribahasa Inggeris, ‘Jack of all trades, master of none’, yang memberi maksud semua benda atau kemahiran nak dicuba tetapi tak betul-betul mengasah atau memperkasa diri dalam satu pun kemahiran.

“Dunia seni sekarang pula condong mencorak artis 4-dalam-1: penyanyi, pengacara, pelakon dan pempengaruh... Tapi tak semua boleh dimasukkan dalam acuan artis serba boleh... Semakin dunia kian canggih, kita perlukan mutu kerja seni yang lebih baik. Penggiat industri tak boleh bersikap asal boleh atau tangkap muat.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg