KUALA LUMPUR: Seorang pemandu remaja merempuh kereta polis sedang dia cuba mengelak daripada ditangkap.
Satu video mengenai kejadian itu yang tular di media sosial turut menunjukkan anggota polis Malaysia terpaksa menunjukkan submesingan, dalam usahanya untuk menghentikan aksi pengejaran kereta berbahaya itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Wan Mohd Zaki Wan Ismail, berkata kejadian berlaku apabila dua anggota Kenderaan Peronda Bergerak daripada Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu ternampak sebuah kereta Proton Wira berwarna kelabu dipandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira 6.30 petang pada 8 September.
Wan Mohd Zaki berkata mereka mengarahkan pemandu itu berhenti, tetapi dia memecut laju, dengan polis terpaksa mengejarnya.
“Suspek bukan sahaja tidak mengendahkan arahan kami untuk berhenti, malah dia juga memandu secara berbahaya termasuk merempuh kereta peronda.
“Atas sebab keselamatan, pegawai terpaksa mengeluarkan senjata api HK MP5 sebagai amaran keras, yang akhirnya berjaya membuat suspek berhenti,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 September, lapor The Star.
Beliau berkata polis menahan remaja lelaki berusia 16 tahun itu kerana memandu tanpa lesen selain merempuh kereta peronda apabila diarah berhenti ketika kejadian di Jalan Bandar Baru.
Wan Mohd Zaki berkata setelah diperiksa, mereka mendapati suspek merupakan pelajar berusia 16 tahun dan telah memandu kereta abangnya tanpa kebenaran.
“Suspek telah diberikan saman kerana memandu tanpa lesen. Dia juga diberi amaran keras dan nasihat supaya tidak mengulangi kesalahan itu sebelum dibebaskan,” katanya sambil menambah bahawa pihak polis juga menghubungi ibu bapa budak itu.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Pada 9 September, video selama 24 saat kejadian itu menjadi tular.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg