AMPANG: Beberapa pokok yang mati dan reput di sekitar kawasan kejadian pemandu kereta dan penunggang motosikal maut selepas kenderaan mereka dihempap pokok di Jalan Utama Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, sudah dikenal pasti untuk tindakan lanjut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet, berkata pihaknya mengambil maklum mengenai aduan penduduk setempat mengenai keadaan pokok seumpama itu di kawasan berkenaan.
“Apa yang berlaku ini adalah insiden yang tidak dijangka kerana ketika kejadian, tidak hujan. Kita banyak fokus pada banjir dan alhamdulillah banjir tak berlaku tetapi sebaliknya ini pula yang terjadi. Dengan kerjasama penduduk setempat, kami sudah kenal pasti beberapa pokok yang mati dan reput di kawasan ini supaya tindakan lanjut dapat diambil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dua lelaki maut dihempap pokok tumbang dalam kejadian 3.50 petang di Jalan Bukit Belacan, Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor, pada 19 Disember.
Kejadian malang itu menyebabkan mangsa, Allahyarham Radin Abd Kharim Radin Mamfudz, 64 tahun, yang memandu kereta Toyoya Avanza, maut di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu.
Seorang lagi mangsa, Allahyarham Muhammad Hisyammuddin Ahmad Syakif, 23 tahun, yang menunggang motosikal, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Encik Mohamad Akmal Mohamad Khairi, seorang pegawai dan lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 3.51 petang.
“Anggota bertugas kemudian menjalankan kerja memotong pokok tumbang dan bahagian hadapan kereta untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada 19 Disember.
Sementara itu, anak Allahyarham Radin Abd Kharim tidak menyangka panggilan video dengan bapanya pada 5 Disember lalu adalah perbualan terakhir mereka bersama.
Encik Radin Muhd Nur Amri, 33 tahun, yang merupakan anak kedua daripada sembilan adik-beradik, berkata ketika panggilan video itu, bapanya sempat mengambil gambar serta bersembang dengan cucu.
“Saya sempat membuat panggilan video bersama ayah, dan kali terakhir berjumpa dengannya sebulan lebih yang lalu.
“Saya bekerja sebagai guru dan tidak sempat balik kerana ada kelas tambahan, justeru bercadang untuk berjumpa ayah pada cuti sekolah,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM) pada 19 Disember.
Isteri Allahyarham, Cik Masitah Ahmad, 61 tahun, berkata insiden berlaku ketika arwah dalam perjalanan untuk berjumpa beberapa rakannya berdekatan kawasan Lembah Jaya selepas menghantar seorang anak mereka untuk menerima rawatan dialisis di Hospital Ampang.
Sementara itu, bapa Allahyarham Muhammad Hisyammuddin, Encik Ahmad Shakif Mohd, 53 tahun, berkata pemergian anaknya itu adalah kehilangan besar buat keluarga.
“Bagi saya, arwah adalah seorang anak yang ceria, baik serta membantu dalam segala segi dan memang dia tidak pernah menyusahkan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg