Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyeru agar Hospital Pasir Gudang yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat segera dilengkapkan dengan petugas kesihatan.
Ini bagi memastikan perkhidmatan kesihatan rakyat di negeri itu tidak terus terjejas.
Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempercepat pengisian jawatan kosong yang menjejas operasi hospital utama negeri seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim.
“Perkhidmatan kesihatan bukan satu kemewahan, ia adalah hak asas rakyat yang tidak seharusnya dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada 8 Julai.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan agar pelabur yang ingin memasuki Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bersedia menawarkan gaji minimum sekurang-kurangnya RM4,000 ($1,205) sebulan kepada lulusan institut pengajian tinggi yang baru, bagi menjamin kesejahteraan tenaga kerja dan menarik bakat bernilai tinggi ke Johor.
Beliau turut menyarankan agar syarikat sedia ada meneliti semula struktur gaji pekerja mereka serta menggesa Kerajaan Persekutuan menetapkan hala tuju jelas untuk menangani isu penghijrahan tenaga kerja dari Johor.
Mengenai isu bekalan air, Tunku Ismail menzahirkan penghargaan atas kelulusan projek prasarana air berjumlah RM991 juta oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang akan menambah kapasiti agihan air terawat sebanyak 260 juta liter sehari khususnya di kawasan JS-SEZ.
Johor turut menyasarkan pembinaan prasarana air mentah sebanyak 2,000 juta liter sehari menjelang 2060, melibatkan projek seperti Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Johor, bendungan dan TAPS Sungai Sedili serta Sungai Pontian yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan Kerajaan Johor akan terus mendesak KKM mempercepat penempatan kakitangan serta melengkapkan kemudahan di Hospital Pasir Gudang.
“Kerajaan Negeri akan bekerjasama erat dengan KKM untuk memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan rakyat Johor terus terjamin dan bertambah baik,” katanya dalam kenyataan susulan.
Datuk Onn Hafiz turut menyatakan komitmen untuk melaksanakan sesi libat urus bersama pelabur dan syarikat dalam JS-SEZ bagi menjayakan daya usaha gaji minimum RM4,000, yang sedang diperhalusi menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
Beliau berkata projek bekalan air yang diluluskan serta perancangan sumber air mentah berskala besar adalah langkah penting memastikan kelangsungan bekalan air untuk keperluan rakyat dan industri menjelang 2060.
“Kerajaan Negeri akan memastikan semua pelaksanaan berjalan secara telus, berimpak tinggi dan memberi manfaat langsung kepada Bangsa Johor,” katanya.
Beliau turut menyifatkan semua usaha itu sebagai sebahagian aspirasi di bawah Agenda Maju Johor 2030 untuk membangunkan negeri secara seimbang, mampan dan terangkum.
“
“Perkhidmatan kesihatan bukan satu kemewahan, ia adalah hak asas rakyat yang tidak seharusnya dinafikan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg