Topik diikuti
Pergi ke BHkuPembangunan Johor mesti seiring keperluan jalan, sekolah dan kemudahan
Kerajaan tempatan turut diminta pastikan aduan rakyat diselesaikan di lapangan sebelum ditutup dalam sistem
Pembangunan Johor mesti seiring keperluan jalan, sekolah dan kemudahan
JOHOR BAHRU: Pembangunan pesat Johor perlu disertai penyediaan jalan raya, sekolah, kemudahan kesihatan dan utiliti yang mencukupi supaya pertambahan penduduk serta kegiatan ekonomi tidak membebankan rakyat pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata perancangan pembangunan mesti mengambil kira keperluan sebenar penduduk, selain memastikan kemudahan sokongan mampu menampung pertumbuhan sesuatu kawasan.
“Jika kawasan baru dibuka, kita perlu melihat kapasiti jalan. Jika penduduk bertambah, kita perlu melihat sekolah, kemudahan kesihatan dan ruang masyarakat.
“Jika kegiatan ekonomi berkembang, utiliti dan sistem sokongan juga perlu dipastikan mampu menampung pertumbuhan tersebut supaya masalah hari ini tidak diwariskan menjadi beban yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 September.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Johor di Kota Iskandar.
Antara agenda yang diberikan perhatian ialah Rancangan Struktur Johor 2040, pengubahan beberapa rancangan tempatan, perancangan Pusat Pentadbiran Bandaraya Pasir Gudang, Pelan Induk Pembangunan Endau dan pelan induk Maharani Freeport.
Mesyuarat turut membincangkan cadangan pembangunan dan guna tanah, garis panduan pencegahan pencemaran industri, perkara berkaitan penilaian kesan alam sekitar, projek pembangunan kerajaan serta perancangan prasarana tenaga.
Datuk Mohd Jafni berkata keputusan mengenai lokasi perumahan, perkembangan bandar dan penyediaan kemudahan awam mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan harian rakyat.
“Pelan pembangunan tidak boleh hanya cantik di atas kertas tetapi menyusahkan rakyat apabila dilaksanakan.
“Sebab itu pembangunan fizikal perlu sentiasa bergerak seiring dengan jalan, saliran, utiliti, kemudahan masyarakat, pengangkutan dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, perancangan negeri perlu mengambil kira keadaan sebenar di lapangan kerana rakyat akan merasai kesannya ketika keluar bekerja, menghantar anak ke sekolah dan menggunakan kemudahan awam.
Dalam perkembangan berasingan, Datuk Mohd Jafni berkata setiap aduan yang diterima melalui MyAduan Johor mesti mempunyai tindakan susulan, tempoh penyelesaian dan maklum balas yang jelas.
Beliau mengadakan perbincangan khusus mengenai isu berbangkit dalam pengendalian sistem itu, terutama tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap aduan rakyat.
“Jangan sekadar mengejar angka aduan yang telah ‘ditutup’ dalam sistem sedangkan masalah sebenar di lapangan masih belum selesai.
“Ukuran kita bukan berapa banyak kes yang berjaya ditutup, tetapi berapa banyak masalah rakyat yang benar-benar berjaya diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata aduan mengenai jalan rosak, lampu tidak berfungsi, longkang tersumbat, sampah tidak dikutip dan gangguan haiwan merupakan maklum balas langsung tentang keadaan yang menjejas kehidupan penduduk.
Aduan berulang di lokasi sama atau melibatkan masalah serupa pula perlu dianalisis bagi mengenal pasti punca dan memperbaiki kaedah kerja, di samping mengelakkan tindakan yang hanya memberikan penyelesaian sementara.