JOHOR BAHRU: Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru memberi perlindungan dan bantuan kepada dua wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa penderaan fizikal majikan mereka di Johor.

Jurucakapnya berkata kedua-dua pembantu rumah itu yang dikenali sebagai YY dan SH ditempatkan di kediaman sementara KJRI untuk perlindungan dan bantuan selanjutnya.

Beliau berkata pihaknya maklum berkaitan kes berkenaan pada 13 Jun lalu daripada seorang warga Indonesia yang dikenal pasti sebagai YY.

YY melaporkan keganasan fizikal terhadapnya dan dua warga Indonesia lain, YA dan SH, yang bekerja sebagai pembantu rumah di Johor.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, ketiga-tiga wanita itu didakwa kerap diseksa majikan ketika bekerja.

Jurucakap itu berkata pihaknya dimaklumkan kejadian juga berlaku pada akhir 2025 dan Januari 2026.

“Selepas kejadian itu, mangsa ditinggalkan oleh majikan mereka di kawasan Kampung Melayu Majidee, Johor.

“Berikutan ingin terus bekerja di Malaysia, ketiga-tiga warga Indonesia itu kemudiannya berpisah.

“YA menuju ke Kuala Lumpur, manakala YY dan SH kekal di Johor,” katanya menerusi satu kenyataan pada 15 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata ketiga-tiga wanita itu didapati bekerja di Malaysia secara tidak sah dan tanpa permit kerja yang sah.

Menurutnya, pasport mereka juga masih dipegang oleh majikan hingga menyebabkan mereka bimbang untuk melaporkan kejadian yang berlaku.

Bagaimanapun, katanya, YY akhirnya memutuskan untuk melaporkan kesengsaraan dialami kepada pihaknya.

“Susulan laporan itu, KJRI di Johor Bahru segera bekerjasama dengan polis dan memfailkan aduan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pihaknya menerima maklumat bahawa pada 13 Jun lalu, Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menahan empat individu yang disyaki terbabit dalam kes terbabit.

“Selain mengambil dan menempatkan YY dan SH di penempatan sementara, pihaknya juga dengan kerjasama Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur, sedang berusaha untuk menjejak YA.

“Ia supaya wanita itu turut diberi perlindungan dan bantuan yang sama,” katanya.

Pada 14 Jun, media Malaysia melaporkan dua pasangan suami isteri berusia antara 30 hingga 34 tahun ditahan polis pada 13 Jun, bagi membantu siasatan mencederakan pembantu rumah di sebuah kediaman di Taman Johor di Tampoi.

Terdahulu, video tular empat individu mengasari seorang amah selepas didakwa memukul anak majikannya yang masih kecil tular di media sosial, mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.