JAKARTA: Polis Jawa Tengah berjaya membongkar sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto antarabangsa yang dipercayai memperdaya sekurang-kurangnya 133 mangsa dari Amerika Syarikat dengan janji keuntungan lumayan.

Sindiket itu dikendalikan dari Sukoharjo dan Surakarta di Jawa Tengah menggunakan taktik dikenali sebagai “pig butchering”, iaitu kaedah memerangkap mangsa secara emosi melalui profil palsu wanita cantik Indonesia sebelum menawarkan pelaburan kripto palsu.

Ketua Direktorat Siasatan Jenayah Siber Polis Jawa Tengah, Pesuruhjaya Kanan Himawan Sutanto Saragih, berkata pihaknya menahan 39 suspek dalam operasi pada 20 Mei lalu.

Mereka terdiri daripada 28 warga Indonesia, tujuh warga Nepal dan empat warga Myanmar.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini aktif dari Julai 2025 hingga Mei 2026 dan memperoleh sekitar AS$2.32 juta ($2.98 juta),” katanya pada 1 Jun lalu.

Beliau berkata kerana mangsa terdiri daripada warga Amerika Syarikat, pihaknya turut meminta bantuan Biro Siasatan Persekutuan Amerika (FBI) bagi membantu siasatan.

Menurut Encik Himawan, sindiket itu menyasarkan kira-kira 5,000 individu asing sebagai sasaran berpotensi dan seramai 133 orang dipercayai terpedaya dengan skim pelaburan tersebut.

Kes itu terbongkar selepas pihak polis menjalankan rondaan siber dan mengesan aktiviti penipuan dalam talian yang mencurigakan.

Sindiket terbabit menggunakan sebuah syarikat dikenali sebagai PT Digi Global Konsultan sebagai platform operasi mereka.

Operasi dijalankan di tujuh lokasi berbeza termasuk rumah sewa, hotel dan rumah tumpangan.

Setiap suspek mempunyai peranan tertentu termasuk sebagai pegawai pemasaran, pembantu pemasaran, ketua operasi dan model wanita yang melakukan panggilan video dengan mangsa.

Menurut polis, para suspek hanya menggunakan nama samaran dan menerima gaji antara 10 juta rupiah ($713) hingga 20 juta rupiah sebulan.

Turut ditahan ialah seorang warga Indonesia dikenali sebagai ASC yang dipercayai menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu sindiket menjalankan kegiatan jenayah.

Polis turut menahan seorang bekas model Indonesia dikenali sebagai Febiola Elizabeth yang berperanan membuat panggilan video untuk meyakinkan mangsa.

“Peranan suspek F adalah melakukan panggilan video bagi membina kepercayaan mangsa,” kata Encik Himawan seperti dipetik Tribunnews.com.

Dalam menjalankan modus operandi “pig butchering”, sindiket itu membina hubungan emosi secara intensif dengan mangsa menerusi aplikasi temu janji seperti Tinder, Puf dan Boo selain media sosial termasuk Facebook.

Selepas mangsa mula mempercayai mereka, sindiket akan menawarkan peluang pelaburan kripto dengan pulangan tinggi sebelum meminta wang dipindahkan ke akaun bank tertentu.

Mangsa kemudian dipercayai kehilangan wang selepas pelaburan tersebut sebenarnya tidak wujud.

Ketua Pejabat Wilayah Direktorat Jeneral Imigresen Jawa Tengah, Haryono Agus Setiawan, berkata warga Nepal dan Myanmar yang ditahan memasuki Indonesia menggunakan visa pelancong.

“Jika terbukti terlibat dalam kegiatan jenayah, kami akan mengusir dan menyenarai hitamkan mereka supaya tidak dapat memasuki Indonesia lagi,” katanya.

Dalam serbuan tersebut, polis merampas pelbagai barangan termasuk 140 telefon bimbit, 123 komputer, dua komputer riba, 78 monitor, 54 papan kekunci, empat televisyen, dokumen syarikat dan kenderaan.

Pihak berkuasa turut menemui dokumen panduan operasi pemasaran yang dipercayai digunakan untuk melatih ahli sindiket memperdaya mangsa.

Kesemua suspek kini didakwa mengikut beberapa peruntukan undang-undang berkaitan jenayah siber dan penipuan di bawah Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik Indonesia serta Kanun Keseksaan negara itu.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 12 tahun.

Indonesia sejak kebelakangan ini menyaksikan peningkatan kes sindiket penipuan dalam talian dan perjudian antarabangsa yang beroperasi dari negara itu selepas tindakan penguatkuasaan diperketat di negara seperti Kemboja dan Vietnam.

Pihak berkuasa percaya banyak sindiket mengambil kesempatan terhadap kelonggaran sistem visa termasuk kemudahan visa semasa ketibaan dan pengecualian visa bagi beberapa negara Asean untuk menjalankan operasi jenayah rentas sempadan.

Polis Indonesia kini terus mempergiat pemantauan siber bagi membanteras kegiatan penipuan antarabangsa yang semakin berkembang dan menyasarkan mangsa dari luar negara. - Agensi berita