SHAH ALAM: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di tiga negeri iaitu Sarawak, Kedah dan Perlis dari 3 hingga 5 September ini, menyusuli keadaan jerebu yang semakin teruk, terutama di Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata OPA dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di lapan lokasi di Sarawak, iaitu Empangan Batang Ai, Bakun, Murum, Bengoh, Gerugu, Assyakirin, Sika dan Matang.

Di Kedah, operasi itu akan dilaksanakan di Empangan Pedu, Muda, Ahning dan Beris serta Empangan Timah Tasoh di Perlis, lapor Harian Metro.

“Di Sarawak, tahap jerebu di sesetengah kawasan sudah mencapai paras bahaya, ada yang indeks pencemaran udara (IPU) hampir mencecah 500.

“Kita akan melakukan pembenihan awan segera. Kita akan meminta MetMalaysia untuk memberikan nasihat di kawasan berkenaan, terutama yang berada di tahap berbahaya ini supaya luruan angin itu akan menuju ke tempat yang lokasinya sangat bahaya.

“Kita akan lakukan koordinasi ini dalam kadar segera kerana kita merasakan Sarawak wajib dibantu kerana kebakaran di Kalimantan itu merebak terlalu luas dan menjejaskan kira-kira tiga perempat daripada wilayah negeri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Belia Desa 2026 di sini, pada 1 September.

Setakat 12 tengah hari 1 September, enam kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU melebihi tahap bahaya, dengan Serian merekodkan bacaan 396, Kuching (389), Samarahan (357), Sarikei (346), Sri Aman (343) dan Sibu (330).

Tiga lagi kawasan di Sarawak turut mencatatkan bacaan pada paras sangat tidak sihat, iaitu melibatkan Bintulu dengan bacaan 242, Mukah (241) dan Samalaju (237).

Terdahulu, semakan menerusi laman sesawang Sistem Indeks Pencemaran Udara (Apims), Jabatan Alam Sekitar (JAS), mendapati enam lokasi di Sarawak merekodkan IPU pada tahap bahaya sehingga 10 pagi 1 September.

Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 406 diikuti Kuching (398), Samarahan (369), Sri Aman (362), Sarikei (340) dan Sibu (321).

Sementara itu, tiga lagi lokasi di Sarawak iaitu Mukah (241), Bintulu (241) dan Samalaju (234) merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat.

Bagi Malaysia, bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan mutu udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.