Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Pemberian duit Raya ikut kemampuan, jadi tradisi eratkan persaudaraan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Pemberian duit Raya ikut kemampuan, jadi tradisi eratkan persaudaraan

Apr 14, 2024 | 05:32 AM



Sambutan Aidilfitri di Malaysia sangat sinonim dengan kemeriahan mengunjungi sanak saudara dan handai taulan serta pemberian duit Raya.

Mengimbau kembali zaman 1990-an, kebiasaannya duit Raya diberi kepada kanak-kanak dengan membungkusnya bersama gula-gula dan diletak dalam plastik lut sinar.

Dulu, duit syiling 50 sen pun sudah besar nilainya bagi kanak-kanak, namun hari ini nilainya jauh berbeza. Namun tradisi pemberian duit Raya masih berkekalan hingga sekarang.

Bagaimanapun hari ini selari dengan perkembangan teknologi yang kian moden, kita melihat penggunaan transaksi kaedah tanpa tunai bagi pembelian barang selain pemindahan wang antara bank kini digunakan secara meluas.

Jadi menjelang Hari Raya pula, adakah pemindahan wang secara dalam talian akan menjadi lebih popular berbanding pemberian duit Raya menggunakan wang tunai?

Sebelum ini setiap kali penghujung Ramadan, rata-rata kita akan membuat penukaran wang tunai bagi tujuan pemberian duit Raya di bank berdekatan. Namun adakah hal itu masih relevan ketika ini?

Hal ini disebabkan segelintir daripada kita mempersoalkan rasional untuk membuat penukaran duit Raya yang memerlukan pengguna menghabiskan masa dengan beratur panjang di kaunter bank.

Mereka berpendapat bahawa pemberian duit Raya secara dalam talian seperti melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet dan DuitNow QR adalah lebih mudah.

Namun pemberian secara dalam talian tentunya tidak dapat menandingi duit Raya secara tunai. Misalnya, bau helaian wang kertas baharu tentu saja dapat dihidu keharumannya.

Menggamit kenangan zaman silam

Bagi golongan berusia tentu saja hal itu menggamit kenangan zaman silam, bagi kanak-kanak pula itulah masa mereka membilang sehelai demi sehelai wang kertas yang diterima.

Namun, tidak kisahlah pemberian secara dalam talian atau tunai paling utama si pemberi tentu saja ingin berkongsi kegembiraan. Tidak kira berapa nilainya, ibu bapa harus memberitahu anak-anak, untuk menghargainya dan mengucapkan terima kasih.

Tekankan kepada mereka mengenai adab apabila menerima pemberian duit Raya. Tanamkan rasa syukur dalam diri mereka walau sekecil mana pun nilai wang itu, seterusnya diterima dengan wajah manis dan hati ikhlas selain mendoakan kebaikan kepada orang yang memberi.

Bagi pemberi pula, seharusnya wang dihulur dengan penuh keikhlasan sebagai sedekah dan amal jariah.

Ukur baju di badan sendiri, jadi pemberian duit Raya juga perlu mengikut kemampuan diri. Tidak ada gunanya juga jika memberi dengan nilai besar namun timbul rasa riyak dalam hati.

Pemberian duit Raya tidak seharusnya dianggap sebagai satu tradisi sahaja, namun anggaplah ia sebagai satu peluang ibadah kita kepada Tuhan.

Dalam pada itu, terdapat makna yang lebih besar di sebalik tradisi pemberian duit Raya.

Merujuk pendapat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pemberian duit Raya pada Syawal adalah menepati perbuatan bersedekah seperti yang digariskan dalam agama Islam.

Pemberian duit Raya kepada sanak saudara dan jiran tetangga pula bukan sahaja dapat meraih pahala bersedekah, bahkan juga mampu mempereratkan lagi perhubungan dan persaudaraan.

Apatah lagi jika memberi duit Raya kepada ibu bapa, tentu saja habuannya lebih menguntungkan iaitu pahala berbuat baik kepada ibu bapa.

Tidak kira walau apa juga bentuk pemberian duit Raya, haruslah diingat bahawa ia bukanlah suatu kewajipan.

Budaya pemberian duit Raya tidak seharusnya menjadi tekanan atau bebanan. Berilah jika mampu.

Sebaliknya jika tidak berkemampuan, terdapat banyak amalan lain yang boleh dilakukan untuk mengeratkan silaturahim, misalnya dengan menjamu makan tetamu yang bertandang ke rumah.

Sambutlah Aidilfitri dengan penuh kesyukuran, bukan dengan pembaziran.

Artikel ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >