Sisa binaan dari Singapura sekali lagi dilaporkan telah dibuang secara haram di Pontian, Johor, dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia.

Akhbar Malaysia, New Straits Times (NST), melaporkan pada 18 November bahawa 10 lori yang dikaitkan dengan pelbagai syarikat, dikesan dalam satu operasi penguatkuasaan di tapak pelupusan Rimba Terjun – di daerah barat daya Johor – yang sebelum ini telah ditutup.

Dalam jawapan kepada media pada 19 November, NEA berkata pihaknya sedar akan laporan terkini yang mendakwa sisa binaan dari Singapura telah diangkut dan dibuang secara haram di Rimba Terjun.

Agensi itu menambah bahawa ia memandang serius dakwaan tersebut dan sedang berhubung dengan pihak berkuasa pengurusan sisa kebangsaan Malaysia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), bagi mengenal pasti fakta sebenar.

“Di bawah rangka kerja kawal selia Singapura, sisa Pembinaan dan Perobohan (C&D) mesti diproses dan diasingkan dengan sewajarnya untuk guna semula, kitar semula atau pelupusan.

“Sisa C&D bercampur yang tidak diasingkan serta mengandungi bahan pencemar seperti sisa plastik, tidak dibenarkan untuk dieksport.

“Bahan sejenis yang diperoleh semula daripada sisa C&D, seperti sisa besi dan keluli, boleh dieksport untuk dikitar semula atau diguna semula, tertakluk kepada syarat negara penerima,” kata NEA.

Agensi itu menambah bahawa ia menjalankan pemantauan dan pemeriksaan ke atas kemudahan pelupusan sisa yang mengendalikan sisa sedemikian, termasuk pemeriksaan di luar waktu operasi biasa.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“NEA akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya jika ketidakpatuhan dan pelanggaran dikenal pasti.

“NEA juga akan terus memantau pematuhan serta meneliti langkah lanjut sekiranya perlu bagi mencegah eksport dan pelupusan sisa C&D yang dilarang ke luar negara,” tambah NEA.

Menurut laporan NST, pengarah SWCorp Johor, Encik Zainal Fitri Ahmad, berkata lapan daripada lori tersebut mempunyai rekod yang menunjukkan ia memasuki Malaysia dengan membawa sisa batu.

Dua lagi lori tidak mempunyai rekod kemasukan yang sepadan di pihak kastam, katanya, sambil menambah bahawa operasi itu dijalankan susulan aduan orang awam yang mengesyaki kegiatan pembuangan sisa haram.

Laporan mengenai pembuangan haram sedemikian mula timbul pada Ogos, yang menyaksikan pihak berkuasa negeri Johor menutup lebih lima tapak di Pontian yang dipercayai digunakan untuk operasi pelupusan haram.

Kerajaan negeri turut menubuhkan satu pasukan petugas dan melancarkan siasatan ke atas tiga tapak yang didakwa terlibat dalam penggunaan sisa binaan secara haram bagi kerja penambakan tanah serta pembuangan sisa di tapak tidak berlesen.

Ketika itu, NEA berkata sembilan syarikat yang dikenal pasti oleh SWCorp sebagai mempunyai kaitan dengan pembuangan sisa binaan secara haram di Pontian, Johor, merupakan syarikat Malaysia.