Topik diikuti
Pergi ke BHkuSungai Simpang Kiri tidak tercemar dengan sisa dari S’pura
Sungai Simpang Kiri tidak tercemar dengan sisa dari S’pura
PONTIAN (JOHOR): Kerajaan negeri mengesahkan tiada unsur pencemaran dikesan di Sungai Simpang Kiri, Mukim Sungai Karang, di sini berdasarkan analisis sampel air yang dijalankan Jabatan Perikanan dan Jabatan Kimia Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Md Israk Abdullah berkata hasil analisis mendapati sampel air sungai berkenaan tidak mengandungi unsur logam berat, bahan toksik, minyak atau gris yang boleh dikaitkan dengan pencemaran.
Katanya, keputusan berkenaan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan yang dipengerusikan Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Farid Hassan, 17 September.
“Lapan agensi terlibat sebagai ahli jawatankuasa iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah Pontian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).
“Turut menganggotai jawatankuasa ialah Pejabat Tanah Daerah Pontian, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Badan Selia Kawal Air Johor (Bakaj) dan Penghulu Mukim Sungai Karang,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Sungai Simpang Kiri, di sini, pada 24 September.
Encik Md Israk berkata bagaimanapun kerajaan negeri akan terus memantau keadaan sungai berkenaan bagi memastikan tiada unsur pencemaran yang boleh menjejaskan sumber pendapatan nelayan.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Nelayan Sungai Simpang Kiri, Encik Sahrizal Sirang mendakwa isu yang dibangkitkan nelayan berlaku sejak tahun 2025 dan sekiranya laporan polis pada 23 Ogos 2025 dijadikan asas siasatan lebih awal, kesan seperti air berbau dan berwarna hitam masih boleh diperoleh ketika itu.
“Bagi kami, laporan ini tidak memihak kepada nelayan kerana isu ini sudah berlaku sejak tahun lalu. Ini dapat dilihat berdasarkan hasil tangkapan udang yang semakin berkurangan.
“Sebelum ini nelayan boleh mendapat antara RM200 ($62) hingga RM300 sehari, tetapi sekarang RM30 pun susah hendak diperoleh,” katanya, lapor Kosmo!.
Menurutnya, nelayan bagaimanapun menerima hasil siasatan Pejabat Daerah Pontian, namun kawasan penambakan sisa bahan binaan yang didakwa berasal dari Singapura dan terletak berhampiran Sungai Simpang Kiri masih menjadi kebimbangan mereka.
Kosmo! pada 23 Ogos lalu menyiarkan dakwaan nelayan bahawa kerja-kerja penambakan menggunakan sisa bahan binaan dari Singapura menyebabkan Sungai Simpang Kiri tercemar.
Nelayan Kampung Simpang Kiri mendakwa, air sungai bertukar hitam dan berbau busuk terutama selepas hujan berikutan aliran air tersekat akibat timbunan sisa bahan binaan.