Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemilik akaun TikTok diarah bayar RM100,000 kepada Rosmah, fitnah amal ilmu hitam

Jul 8, 2025 | 11:15 AM
Malaysia, Rosmah Mansor, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
Isteri bekas Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor (kiri). - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik akaun TikTok diperintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 8 Julai untuk membayar RM100,000 ($30,135) kepada Datin Seri Rosmah Mansor, berhubung kenyataan fitnah yang mendakwa isteri kepada bekas Perdana Menteri itu terbabit mengamalkan ilmu hitam dan bomoh pada 2023.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Datin Rosmah, 74 tahun, selaku plaintif terhadap Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35 tahun, yang dinamakan sebagai defendan, selepas lelaki itu gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.

Ketika membaca keputusan dalam prosiding taksiran ganti rugi yang dibuat secara dalam talian Zoom, Datuk Shahrir berkata plaintif berjaya membuktikan kelayakannya untuk menerima ganti rugi akibat fitnah itu.

“Selepas mempertimbangkan semua perkara, mahkamah berpendapat bahawa jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000 adalah suatu penilaian yang adil dan seimbang.

“Jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000 ini merangkumi ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

“Tuntutan bagi ganti rugi teladan tidak dibenarkan memandangkan tiada keterangan kukuh yang dikemukakan di hadapan mahkamah ini bagi menyokong pemberian itu,” katanya, lapor Harian Metro.

Datin Rosmah, yang memfailkan saman itu pada 19 September 2023, mendakwa Ku Muhammad Hilmie memuat naik satu rakaman video di akaun TikTok milik defendan, yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadap plaintif pada 22 Mac 2023.

Datin Rosmah mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau melakukan perbuatan berdosa, dikaitkan dengan kegiatan membabitkan syaitan, bomoh serta seorang individu yang jahat dan mengamalkan perbuatan syirik.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu memprejudiskan reputasinya selaku isteri kepada Perdana Menteri Malaysia keenam, Encik Najib Razak, dan penaung badan-badan amal di Malaysia yang dikenali umum.

Selain itu beliau mendakwa turut dipandang serong oleh orang awam, dicemuh dan dihina, sekali gus mencemarkan reputasinya selaku individu dikenali masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menuntut antara lain ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg