Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rosmah lepas, bebas 17 tuduhan ubah wang haram, elak cukai

Dec 19, 2024 | 12:36 PM
Isteri kepada mantan Perdana Menteri Malaysia keenam, Datin Seri Rosmah Mansor (kiri), ketika tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Isteri kepada mantan Perdana Menteri Malaysia keenam, Datin Seri Rosmah Mansor (kiri), ketika tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia keenam, Datin Seri Rosmah Mansor, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta ($2.1 juta) dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K Muniandy membenarkan permohonan isteri kepada Encik Najib Tun Razak itu untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.

Datin Rosmah, 73 tahun, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada September 2023, dan perbicaraan dimulakan pada 12 Disember 2023, selepas sebahagian kes didengar dengan keterangan daripada dua saksi.

Hakim Muniandy berkata tuduhan dikenakan terhadap Datin Rosmah adalah menyalahi undang-undang dan cacat kerana ia tidak mematuhi peruntukan Kanun Tatacara Jenayah.

“Tuduhan itu adalah bertindih dan berbilang. Tambahan pula, ia tidak mendedahkan sebarang kesalahan,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram, Datin Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Manakala bagi tuduhan berkaitan LHDN, Datin Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Ini adalah representasi ketiga Datin Rosmah selepas mengemukakan permohonan buat kali pertama dan kedua, masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos 2023.

Hakim Muniandy dalam penghakimannya berkata beliau menggunakan bidang kuasa asalnya dan kuasa sedia ada sebagai hakim bicara untuk melepas dan membebaskan tertuduh.

Selain itu, Datin Rosmah masih menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung sabitan kes rasuah RM1.25 bilion projek tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah itu akan mendengar rayuannya pada 5 Mac 2025 untuk membatalkan kelayakan hakim perbicaraan, Datuk Mohamed Zaini Mazlan, yang mensabitkannya dalam kes itu.

Jika ditolak, mahkamah akan meneruskan untuk mendengar merit rayuan Datin Rosmah terhadap sabitan dan hukumannya pada 19 Mac.

Pada September 2022, Datin Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah melakukan rasuah berhubung projek bernilai RM1.25 bilion tersebut.

Sementara itu, Datin Rosmah menyifatkan keputusan pada 19 Disember itu adalah yang paling dinantikan dan berita gembira sempena bulan ulang tahun kelahirannya.

“Keputusan mahkamah ini adalah hadiah hari jadi istimewa buat saya dan suami (Encik Najib).

“Saya akan maklumkan berita gembira ini kepada Datuk Seri (Encik Najib). Inilah keadilan yang kita nantikan,” katanya ketika ditemui media di perkarangan mahkamah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg