Pemilik kenderaan asing isi RON95 di M’sia akan dikenakan tindakan mulai Apr 2026
Pemilik kenderaan asing isi RON95 di M’sia akan dikenakan tindakan mulai Apr 2026
Pemilik dan pengguna kenderaan asing, termasuk dari Singapura, yang mengisi petrol RON95 yang bersubsidi di Malaysia bakal berdepan tindakan undang-undang. Ini susulan peraturan baru di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang dijangka berkuat kuasa 1 April depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata peraturan baru ini membolehkan tindakan dikenakan ke atas pemilik dan pemandu kenderaan berdaftar asing yang membeli petrol bersubsidi.
Beliau menjelaskan peraturan ini diwujudkan bagi menutup kelompangan sedia ada. Sebelum ini, tindakan undang-undang hanya boleh diambil terhadap stesen minyak yang menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.
“Pendekatan terbaru akan dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah AKB 1961, yang akan membuat larangan terhadap pembelian RON95 oleh kenderaan asing di stesen-stesen minyak.
“Ini kerana kerangka perundangan sedia ada iaitu di bawah Peraturan 12 AKB 1961 hanya melibatkan larangan terhadap penjualan di mana tindakan hanya akan dikenakan terhadap stesen minyak dan bukan ke atas pemilik atau pembeli yang menggunakan kenderaan pendaftaran asing.
“Jadi melalui peraturan baru yang sedang dirangka ini larangan itu selepas ini bukan hanya akan melibatkan aspek penjualan kepada kenderaan asing, tetapi juga pembelian.
“Maksudnya mereka yang membeli iaitu pemilik atau pemandu yang menggunakan kenderaan pendaftaran asing boleh dikenakan tindakan. Kita sasarkan peraturan ini dapat dikuatkuasakan pada April 2026,” katanya di Parlimen, pada 28 Januari.
Datuk Armizan menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Barisan Nasional-Kalabakan) mengenai tindakan terhadap pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan dengan nombor pendaftaran asing.
Mengulas lanjut, Datuk Armizan berkata ketika ini KPDN kini giat bekerjasama dengan agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tujuan pelaksanaannya.
Ketirisan petrol bersubsidi, terutama di kawasan sempadan termasuk antara Johor-Singapura merupakan isu berpanjangan yang membelenggu Kerajaan Malaysia.
Walaupun larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing di Malaysia telah lama dilaksanakan, ia dilihat masih gagal mengekang isu ketirisan kerana tiada perundangan khusus untuk mendakwa pemandu kenderaan asing yang membelinya.
Baru-baru ini, seorang pemandu kereta bernombor pendaftaran Singapura yang dikesan mengisi petrol RON95 telah didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai, Johor. Namun, denda itu dikenakan atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran palsu bagi membolehkannya mengisi bahan api, bukan kerana mengisi petrol bersubsidi.
Kerajaan Malaysia juga memulakan langkah drastik dengan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 bermula 30 September 2025. Warga asing yang memandu kenderaan pendaftaran Malaysia perlu membayar RON95 pada harga tanpa subsidi.
Sementara kenderaan pendaftaran asing pula hanya layak membeli petrol RON97.
Sebelum penyasaran subsidi petrol RON95 dilaksanakan, Kerajaan Malaysia membelanjakan berbilion ringgit untuk tujuan itu dengan hampir RM20 bilion dibelanjakan kerajaan bagi menampung subsidi petrol RON95.

