Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes ubah nombor plat ketika isi petrol RON95: PR S’pura beri keterangan

Jan 5, 2026 | 1:38 PM
ron95, minyak, singapura, malaysia
Seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura dikesan menutup dua huruf pada nombor plat kenderaannya ketika mengisi petrol RON95 di Kulai, Johor, telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan memberi keterangan bagi membantu siasatan. Tindakan turut diambil terhadap pengusaha stesen minyak terbabit. - Foto FACEBOOK INFO SEMASA

KULAI (Johor): Pemilik kenderaan berdaftar Singapura yang tular selepas didakwa menutup dua huruf pada nombor plat kenderaannya bagi mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di sini, telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Tan Seng Lee, berkata pihaknya telah mengesan individu terbabit, yang memegang status Penduduk Tetap (PR) Singapura, dan mengarahkannya hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan masih dalam tindakan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut, tambahnya.

“Pemilik sudah hadir ke IPD Kulai bagi membantu siasatan. Kertas siasatan masih dalam tindakan dan akan dirujuk kepada TPR segera,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 Januari.

ACP Tan turut memaklumkan individu yang dirakam dalam video tular itu dipercayai pasangan suami isteri berusia 63 dan 67 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan kesalahan mempamerkan nombor plat kenderaan secara tidak mengikut peraturan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu atau pemilik kenderaan asing berkenaan supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Memandangkan kenderaan itu bernombor pendaftaran Singapura, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mempunyai rekod pemilik kenderaan,” katanya.

ACP Tan juga berkata pihaknya akan mengambil tindakan saman ke atas pemilik kenderaan jika mendapati nombor plat kenderaan itu menyalahi peraturan ditetapkan.

Terdahulu, tular video selama satu minit 30 saat di media sosial memaparkan seorang individu yang mengesan perbuatan individu dipercayai dengan nombor plat kenderaan Singapura yang sedang mengisi petrol RON95.

Pemilik video mendakwa kemungkinan ia taktik baru warga Singapura untuk mengaburi mata pihak berkuasa apabila menutup huruf pertama dan terakhir nombor plat supaya kelihatan seperti kenderaan tempatan.

Apabila didekati dan disoal pemilik video, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Cik Lilis Saslinda Pornomo, juga dilaporkan berkata satu tindakan diambil ke atas pengusaha stesen minyak berkenaan kerana pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg