Sebuah kereta berdaftar di Singapura dikatakan telah merobohkan kios pam minyak petrol di Johor selepas memandu pergi dengan kepala pam masih tergantung di pintu tangki keretanya.
Tidak segera diketahui mengapa pemandu kereta tersebut berbuat demikian sebelum meletakkan semula pam minyak di gagangnya.
Perbuatan pemandu berkenaan menyebabkan stesen itu menutup operasinya buat sementara waktu, kata seorang saksi.
Insiden itu didakwa berlaku sekitar 10.15 malam pada 18 Oktober di sebuah stesen minyak di Jalan Skudai, Johor, menurut seorang penumpang kereta lain yang merakam gambar dan video kerosakan yang berlaku dan menyiarkannya di Facebook.
Seorang penduduk Johor, Cik Chen Zi Xin, berkata bahawa ibu bapanya sedang mengisi minyak di stesen yang sama apabila bunyi kuat menarik perhatian mereka ke sebuah kios pam minyak di depan mereka yang telah runtuh.
Beliau berkata mereka melihat sebuah kereta yang berada beberapa meter daripada kios dengan penutup tangki minyaknya terbuka dan pam minyak petrol pula masih tergantung di pintu tangkinya.
Dalam satu video yang disiarkannya, seorang pekerja dilihat berlari ke arah kios minyak yang runtuh di kawasan yang kelihatan seperti stesen minyak Shell ketika seorang lelaki daripada kereta berdaftar Singapura itu keluar dari kenderaannya.
Cik Chen, yang menyiarkan video itu, berkata bapanya melihat pekerja stesen minyak tersebut melambaikan tangannya ke arah pemandu berkenaan supaya menangani masalah yang berlaku.
“Kami takut stesen itu mungkin meletup dan tergesa-gesa memandu pergi,” katanya kepada The Straits Times.
Sekurang-kurangnya tiga pemandu lain segera meninggalkan kios pam petrol kerana stesen itu bertindak menghentikan operasi buat sementara waktu, katanya.
ST telah menghubungi Shell Malaysia untuk maklumat lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg