PADANG BESAR (Perlis): Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin goyah dengan kian ramai ahlinya meninggalkan parti, selepas mendakwa hilang kepercayaan pada kepimpinan Bersatu di peringkat Pusat.

Terkini, Timbalan Ketua Bersatu Padang Besar di Perlis bersama 14 ketua cawangan daripada 24 cawangan di bahagian itu mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada parti serta-merta dan menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan mantan pemimpin Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Timbalan Ketua Bersatu Padang Besar, Encik Ramzi Md Udi, berkata keputusan itu diambil selepas mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti di peringkat Pusat.

Beliau berkata tindakan meletakkan jawatan secara beramai-ramai itu dicapai sepakat selepas perbincangan bersama rakan pimpinan peringkat bahagian, cawangan dan barisan ahli jawatankuasa (AJK) masing-masing.

“Hari ini (8 September) ahli mewakili 14 daripada 24 cawangan mengisytiharkan keluar parti, ini bermaksud lebih dua pertiga daripada cawangan Bersatu di Padang Besar sudah terbubar dan selepas ini ada lagi beberapa cawangan lain akan menyusul.

“Keputusan ini dibuat selepas penilaian sedalam-dalamnya. Kami berpendapat tidak lagi percaya kepada kepimpinan Bersatu di peringkat bahagian, negeri dan juga di peringkat Pusat,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Turut mengambil tindakan meninggalkan parti ialah Naib Ketua Bahagian, Encik Ramli Aripin; Pemangku Ketua Srikandi, Cik Fazuwin Razak; dan Ketua Srikandi Muda, Cik Nurul Hafiza Ramli.

Encik Ramzi berkata kumpulan itu juga bersetuju untuk meneruskan kelangsungan perjuangan politik dengan menyertai Wawasan.

“Demi masa depan politik yang lebih jelas dan demi kepentingan masyarakat, kami memilih untuk bergerak ke hadapan dengan menyertai Wawasan,” katanya.

Encik Ramzi mendakwa pelantikan Encik Izizam Ibrahim sebagai Pengerusi Bersatu Perlis yang baharu seolah-olah memperlihatkan agenda untuk meretakkan lagi hubungan parti itu bersama Parti Islam SeMalaysia (PAS) di negeri itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam satu kenyataan pada 3 September, mengumumkan pelantikan Encik Izizam, yang juga Ketua Bersatu Padang Besar, sebagai Ketua Bersatu Perlis.

Datuk Azmin berkata pelantikan itu dipersetujui Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan berkuatkuasa 3 September lalu.

Sebelum ini, jawatan Ketua Bersatu Perlis disandang oleh Menteri Besar Bersatu, Encik Abu Bakar Hamzah.

Namun, pada 9 Julai lalu, Encik Abu Bakar meletak jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, dengan alasan mahu memberi tumpuan penuh kepada pentadbiran kerajaan negeri Perlis yang berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal.