Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuhyiddin: Bersatu tak keluar dari PN, tetap guna logo pada PRN Johor, N Sembilan
Muhyiddin: Bersatu tak keluar dari PN, tetap guna logo pada PRN Johor, N Sembilan
PAS, Bersatu bercanggah pandangan dalam pertahankan kedudukan dengan pendekatan berlandaskan Perlembagaan PN
Muhyiddin: Bersatu tak keluar dari PN, tetap guna logo pada PRN Johor, N Sembilan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk terus kekal dalam Perikatan Nasional (PN), ketika Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang memimpin PN menyerahkan kepada dua lagi komponen untuk memutuskan pihak mana yang patut kekal dalam gabungan itu.
Walaupun kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan belum diputuskan, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Bersatu juga akan menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, serta bersedia berdepan PAS sekiranya kededua parti bertanding di kerusi sama.
“Pendirian Bersatu ialah untuk kekal dalam PN. Sebagai parti pengasas ada sebab-sebab yang munasabah kita akan terus kekal sebagai anggota PN dan tidak ada mana-mana pihak pun yang boleh mengambil tindakan untuk menyingkirkan Bersatu.
“PN adalah satu jenama yang baik. Maka sewajarnya dalam keadaan apa sekali pun, Bersatu akan terus kekal sebagai anggota PN dan tidak ada mana-mana pihak yang boleh singkirkan Bersatu daripada PN secara unilateral (sepihak).
“Kalau ikut Perlembagaan, ada perkara dan fasal tertentu yang perlu dipatuhi... mereka mesti mematuhi peruntukan tersebut dan perlu mencapai konsensus,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Kuala Lumpur pada malam 16 Jun.
PAS dan Bersatu masing-masing bercanggah pandangan dalam mempertahankan kedudukan dengan pendekatan yang berlandaskan Perlembagaan PN.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada 12 Jun berkata keputusan mengenai kedudukan Bersatu sebagai anggota PN akan diputuskan mengikut perlembagaan, dengan majoriti parti komponen dalam gabungan itu membuat keputusan pihak mana yang perlu kekal atau dikeluarkan daripada PN.
Malah, Pengerusi PN yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, sebelum ini juga menegaskan PN bukan milik mana-mana parti secara mutlak dan sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan serta hala tuju gabungan itu tidak boleh dibuat secara sepihak, sebaliknya perlu merujuk kepada Perlembagaan PN.
Sementara Tan Sri Muhyiddin yang juga mantan Pengerusi PN pula menegaskan sebagai parti pengasas PN, Bersatu akan terus kekal dalam gabungan itu, walaupun PAS pada 8 Jun lalu telah menamatkan kerjasama politik yang dijalin sejak 2020.
Dalam pada itu Tan Sri Muhyiddin berkata Bersatu juga telah mengenal pasti kawasan yang akan ditandingi calon parti itu pada PRN ke-16 di Johor dan Negeri Sembilan, dan yakin mampu meraih kejayaan menerusi jentera yang tersusun.
“Ini berdasarkan persetujuan yang lalu. Apa sahaja keputusan parti-parti lain untuk bertanding, itu soal mereka. Parti kita telah membuat keputusan dan kita yakin dengan gerak kerja yang tersusun, kita boleh mencapai kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Bagaimanapun persoalan tetap timbul sama ada keputusan Bersatu bertanding menggunakan logo PN di PRN Johor dan Negeri Sembilan akan mendapat persetujuan Pengerusi PN sebagaimana prosedur biasa.
Dengan kedudukan Bersatu dalam PN yang masih menjadi pertikaian, ada kemungkinan watikah calon yang akan bertanding pada dua PRN itu tidak akan ditandatangani oleh Datuk Ahmad Samsuri.
Mengulas perkara itu, Tan Sri Muhyiddin berkata Datuk Ahmad Samsuri perlu segera memanggil mesyuarat gabungan itu bagi membincangkan hala tuju dan persiapan pilihan raya.
Pada masa sama, Tan Sri Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata kedudukan Bersatu sebagai komponen dalam PN akan terjawab pada mesyuarat PAS Pusat, pada 17 Jun.
Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddin memaklumkan tidak diberitahu mengenai sebarang mesyuarat berkaitan kedudukan Bersatu dalam PN.
“Itulah sebabnya sewajarnya Pengerusi PN memanggil mesyuarat. Sampai hari ini tidak ada satu pun mesyuarat yang dipanggil khusus bagi membincangkan persiapan pilihan raya.
“Lebih-lebih lagi dengan perkembangan politik semasa yang memberi kesan kepada PN dan kedudukan parti-parti dalam gabungan itu. Jadi bagaimana hendak bertanding? Adakah secara bebas (free for all)? Sebab itu mesyuarat perlu diadakan,” katanya.
