KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggesa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari, menjelaskan kenyataannya bahawa Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Encik Ramkarpal Singh, berkata ia penting sama ada pendirian seumpama itu sudah dibangkit dan diputuskan dalam Majlis Presiden PH.

Beliau menyifatkan kenyataan Datuk Amirudin, yang juga Ahli Majlis Presiden PH, itu sebagai serius kerana ia menyentuh soal hala tuju gabungan terbabit dan perlu dijelaskan segera bagi mengelak sebarang kekeliruan.

“Perkara ini serius kerana ia berkaitan dengan hala tuju PH serta rakan-rakan kerjasama yang berpotensi dalam gabungan pada masa hadapan.

“Sudah tentu perkara ini mesti dibincangkan secara menyeluruh oleh parti-parti komponen sebelum sebarang pengumuman sedemikian dibuat.

“Saya tidak mengetahui tentang pendirian sedemikian dan boleh mengesahkan bahawa perkara ini sehingga kini tidak pernah dibangkitkan pada mana-mana peringkat dalam DAP,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen (AP) Bukit Gelugor, berkata kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat sememangnya pertimbangan utama yang perlu diambil kira, namun soal rakan gabungan yang mampu bekerjasama demi kepentingan bersama dan kemajuan negara juga sama pentingnya.

Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP itu juga menyifatkan kerjasama antara partinya dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) – parti komponen utama dalam PN – sebagai tidak mungkin berlaku ketika ini terutama ketika PAS sering menuduh DAP sebagai parti anti-Islam.

Beliau menyifatkan tuduhan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, itu sebagai tidak berasas dan menjadikannya contoh mengapa kedua-dua parti sukar bekerjasama pada masa ini.

“Dakwaan tidak berasas PAS terhadap DAP bahawa parti itu kononnya anti-Islam hanyalah satu contoh, yang pada pandangan saya menunjukkan bahawa tidak mungkin wujud sebarang kerjasama antara kedua-dua parti pada ketika ini,” katanya.

Pada 10 Ogos, Datuk Amiruddin menyatakan PH menekankan prinsip kestabilan politik dan kepentingan rakyat dalam menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan mana-mana parti atau gabungan.

Beliau, yang juga Menteri Besar Selangor dan AP Gombak, dilaporkan berkata PH sentiasa terbuka dalam menjalin kerjasama atau sebarang persefahaman dengan mana-mana parti atau gabungan yang menerima pakai dua prinsip berkenaan, termasuk Bersatu atau PN.