KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) boleh diadakan seawal Februari 2027, jika Parti Tindakan Demokratik (DAP) hanya memutuskan untuk menyokong Kerajaan Perpaduan hingga selepas pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober.

Mantan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming daripada DAP, menjangkakan Persidangan Kebangsaan Khas parti itu pada 16 Ogos, akan menentukan sama ada DAP akan menarik sokongan, kekal hingga akhir penggal atau sehingga tempoh tertentu, termasuk selepas pembentangan Belanjawan.

Ia juga termasuk keputusan membabitkan peletakan jawatan menteri dan timbalan menteri daripada DAP.

Dr Ong berkata jika kemerosotan sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Harapan (PH) berterusan hingga ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak, nasib DAP akan lebih teruk.

Ia termasuk kemungkinan pengundi Cina akan beralih sokongan kepada komponen Barisan Nasional (BN) – Persatuan Cina Malaysia (MCA) pada PRU16, jika DAP dilihat seperti pembangkang jika berada di luar kerajaan.

“Jadi, yang tinggal untuk diputuskan (pada persidangan), sama ada meletak jawatan segera atau selepas Belanjawan.

“Jika nak letak jawatan selepas Belanjawan, pada pandangan saya, contohnya pada Disember, ada kemungkinan Umno akan menggunakan kesempatan ini untuk tarik balik sokongan (daripada Kerajaan Perpaduan).

“...atau (menteri dan timbalan menteri Umno) letak jawatan secara beramai-ramai pada Januari.

“Jadi, ada kemungkinan ini akan mencetuskan pembubaran Parlimen dan PRU16 akan diadakan pada akhir Februari selepas Tahun Baru Cina dan sebelum Aidilfitri,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program podcast Keluar Sekejap, yang disiarkan pada malam 4 Ogos.

Program itu dihoskan mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin dan mantan Ketua Penerangan Umno, Encik Shahril Hamdan.

Pada malam 3 Ogos, Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke, berkata parti itu akan mengadakan Persidangan Kebangsaan Khas pada 16 Ogos bagi membolehkan perwakilan menentukan pendirian parti, sama ada kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal pentadbiran semasa atau sebaliknya.

Encik Loke berkata satu usul mengenai perkara itu akan dibentangkan pada persidangan berkenaan untuk diputuskan lebih 4,000 perwakilan yang hadir.

Dr Ong turut menjangkakan, jika PRU16 diadakan pada Februari, peratusan pengundi Cina yang akan mengundi akan rendah kerana mereka sudah pulang ke kampung untuk sambutan Tahun Baru Cina.

“Bagaimanapun, kadar peratusan mengundi dalam kalangan pengundi Melayu akan naik kerana mahu pulang ke kampung menyokong Kerajaan Perpaduan antara Perikatan Nasional (PN) dan BN, dan pada masa sama, untuk menyambut Aidilfitri.

“Itu adalah satu senario yang boleh berlaku,” katanya.

Keputusan PRN Johor Ke-16 pada 11 Julai menyaksikan PH hanya memperoleh lapan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, berbanding 12 kerusi pada PRN sebelum itu.

Pada PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, PH hanya memperoleh 11 kerusi daripada 36 kerusi DUN, berbanding 17 kerusi sebelum itu.