Jenazah mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, selamat dikebumikan dalam istiadat kenegaraan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur, pada petang 15 April.
Cuaca redup mengiringi suasana pilu dan sugul di Masjid Negara, dengan ribuan orang termasuk pemimpin politik dan kerajaan dari dalam dan luar negara hadir memberi penghormatan terakhir, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Pelbagai pihak mengenang kepimpinan Allahyarham sebagai tokoh politik dan negarawan yang luhur, dengan legasi kepimpinannya yang telah membantu Malaysia mengorak langkah sebagai negara membangun dan cemerlang sepanjang lebih lima tahun era pentadbirannya antara 2003 dengan 2009.
Datuk Anwar menyifatkan Tun Abdullah, yang mesra dipanggil Pak Lah, bukan sekadar pemimpin, bahkan merupakan insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia.
“Dengan pendekatan Islam hadhari, beliau menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai.
“Di bawah kepimpinannya, kita telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran dan pemerkasaan institusi.
“Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam.
“Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan.
“Namun lebih daripada segala pencapaian itu, Pak Lah mengajarkan kita erti kemanusiaan dalam kepimpinan,” tulis Datuk Anwar di Facebook rasminya, sebaik menerima perkhabaran Tun Abdullah kembali ke rahmatullah pada 7.10 petang, 14 April.
Pada istiadat pengebumian itu, empat mantan Perdana Menteri Malaysia hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara, dengan Encik Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara menjadi yang terawal tiba selepas diberi kebenaran menziarahi jenazah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Selain Encik Najib, turut hadir ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sementara itu, Dr Mahathir turut mengenang kembali hubungan lamanya dengan Tun Abdullah dan era pentadbiran Allahyarham, sambil memuji kepimpinan negarawan ulung itu terutama kejayaan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada 2004.
“Di bawah kepimpinan beliau, gabungan pemerintah mencapai kemenangan paling besar dalam sejarah negara, memenangi 90 peratus kerusi. Ia pencapaian luar biasa.
“Namun, PRU 2008 tidak begitu berjaya. Dengan tekanan yang semakin meningkat supaya beliau meletakkan jawatan, beliau berundur dengan terhormat tanpa sebarang bantahan dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada (Encik) Najib Razak,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Perdana Menteri kelima itu atas pemergian Tun Abdullah ke rahmatullah.
“Kita berterima kasih atas semua jasa Allahyarham kepada negara. Semoga roh Allahyarham dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” coret Sultan Ibrahim yang dikongsi di Facebook.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg